Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Polis Siasat Dakwaan Neelofa Tidak Pakai Pelitup Muka Ke Mahkamah

SEREMBAN, 21 Mei (Bernama) — Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor, 32, yang tidak memakai pelitup muka ketika hadir di Kompleks Mahkamah Seremban di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti yang diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada orang ramai, termasuk mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh.

“Penjelasan berkenaan perkara ini telah dikeluarkan KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam tular gambar kehadiran Neelofa ke kompleks mahkamah berkenaan, yang mengundang pelbagai respons orang ramai apabila rata-rata mendakwa beliau tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.

Neelofa dan suami Muhammad Haris Mohd Ismail hadir ke mahkamah bagi prosiding pendakwaan atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lepas.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'