Siakap Keli

‘Rating’ Facebook Di Playstore Dan App Store Jatuh Mendadak Selepas Ketegangan Palestin-Israel

Facebook adalah salah satu platform media sosial yang sangat popular di seluruh dunia. Selain merupakan aplikasi mesra pengguna, Facebook juga memberi kebebasan untuk seseorang itu menyuarakan pendapat mereka.

Hari ini, Facebook mengalami penurunan rating kepada 2.3 di Google Playstore. Manakala di Apple Store pula, rating media sosial tersebut menjunam ke 1.5 bintang setakat ini.

Penurunan mendadak ini agak mengejutkan kerana Facebook bukanlah satu nama baru dalam dunia media sosial.

Menurut laporan Samaa TV, platform media sosial gergasi tersebut mengalami penurunan rating sejak beberapa hari kebelakangan ini dipercayai ekoran isu Israel-Palestin.

Menurut Being Guru, banyak akaun dilaporkan digantung dan dilarang penggunaan sepenuhnya apabila bersuara tentang isu dua negara itu.

Lapor portal itu lagi, pengguna Facebook yang secara beramai-ramai memberi satu bintang pada aplikasi tersebut menyebabkan penurunan rating yang ketara.

Bukan sahaja Facebook, pengguna platform media sosial lain milik Facebook iaitu Instagram juga dipercayai mengalami masalah akaun digantung, lapor Being Guru.

Namun, Instagram setakat ini tidak mengalami penurunan rating mendadak seperti aplikasi sulung syarikat sosial media gergasi itu.

Sumber: Being Guru, Samaa TV

Eyla Azri