Siakap Keli

(Video) Dijemput Ajal Tanpa Orang Tersayang Disisi, Doktor Kongsi Detik Pilu Petugas Kesihatan Cuba Selamatkan Pesakit COVID-19

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ketika ini, negara sedang menghadapi krisis pandemik COVID-19 yang semakin meruncing apabila kes harian semakin meningkat. Tidak cuma itu, ruang ICU yang menempatkan pesakit COVID-19 juga dilaporkan berada dalam keadaan ‘kritikal’.

Kadar penggunaan katil di ICU secara keseluruhannya di seluruh negara dilaporkan telah mencapai 83%.

Situasi ini benar-benar membimbangkan kerana kehadiran varian-varian baru menyebabkan tahap kebolehjangkitan dalam masyarakat di seluruh negara adalah tinggi.

Mungkin masih ramai yang tidak sedar mengenai keadaan getir yang terpaksa dilalui oleh petugas kesihatan yang kini sedang bertungkus lumus untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 ini.

Tanpa mengira penat lelah, mereka menyumbangkan tenaga dan semangat untuk membantu pesakit tanpa mengira latar belakang.

Menerusi ciapan Dr Khairil Syahmi Mokhtar di Twitter, beliau berkongsikan kepada orang ramai mengenai situasi sebenar yang sedang berlaku dalam sistem kesihatan negara pada masa kini.

Bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai, Dr Khairil meluahkan kesedihannya apabila melihat sendiri pesakit-pesakit COVID-19 yang meninggal dunia tanpa orang tersayang disisi.

Video yang dimuatnaik olehnya memaparkan petugas kesihatan yang sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan kepada seorang pesakit di ICU.  Mungkin video itu hanya berdurasi tiga saat sahaja tetapi ia cukup menggambarkan keadaan sebenar yang sedang berlaku pada ketika ini.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang sedih melihat situasi tersebut dan mendoakan agar semua petugas kesihatan dilindungi.

Semoga segala usaha semua petugas kesihatan diberikan ganjaran yang sebaiknya dan segalanya dipermudahkan.

Sumber: Khairil Syahmi Mokhtar

Sofea

There's always another side to every story