Siakap Keli
Kredit: Google

(Video) Risau ‘Content’ Langgar Hak Cipta, Ini Cara Nak Tahu Lagu Di Youtube Yang Ada ‘Copyright’

Bagi pencipta kandungan di Youtube, salah satu aspek penting yang perlu dijaga ialah muzik latar yang dimasukkan dalam sesebuah video. Bukan sahaja perlu kena dengan ‘mood’ video, muzik itu juga perlu mematuhi syarat-syarat di Youtube agar video dimuatnaik dapat diwangkan (monetize).

Jika anda menggunakan muzik yang mempunyai hak cipta, wang yang diperoleh akan disalurkan kepada pemilik lagu yang memegang lesen hak cipta (Teksnologi.com, 2021). Malah, andai tidak bernasib baik, video anda mungkin akan disekat pihak Youtube atas permintaan pemilik asal muzik atau karya yang telah digunakan.

Macam mana nak tahu sesuatu lagu ada hak cipta atau tidak di Youtube?

Menurut Teksnologi.com, ada beberapa cara untuk anda mengetahui status hakcipta sesuatu muzik di Youtube.

Pertamanya, lihat ruang deskripsi sesuatu video muzik yang ingin kita gunakan. Kebiasaannya, muzik yang mempunyai hak cipta akan memaparkan maklumat lengkap mengenai lagu seperti tajuk, artis dan perlesenannya.

Jika terdapat pautan untuk membeli lesen hak cipta, maka ia adalah lagu yang mempunyai copyright di mana keuntungan yang anda perolehi melalui Google Adsense akan disalurkan kepada pemilik asal lagu tersebut.

Cara kedua ialah dengan membuka aplikasi Youtube menggunakan telefon pintar anda dan perhatikan ciri muat turun pada video tersebut. Jika ia tidak boleh dimuat turun, bermakna video berkenaan mempunyai hak cipta.

Jadi, pilihan yang anda ada untuk memastikan video anda boleh dimonetisasikan ialah dengan menggunakan muzik yang bebas hak cipta. Berikut merupakan antara sumber muzik tanpa hakcipta dikongsikan Teksnologi.com.

1.  No Copyright Sounds (NCS) di Youtube.

Dari sini, anda boleh menggunakan latar sama ada muzik instrumental, EDM mahupun lagu yang mempunyai vokal. Anda hanya perlu mengkreditkan muzik tersebut dengan memaparkan tajuk, artis dan maklumat perlesenannya pada ruang deskripsi video anda.

2. Youtube Audio Library

Cara ini lebih mudah. Anda boleh memilih muzik-muzik percuma tanpa hakcipta yang disediakan pihak Youube sendiri tanpa perlu meletakkan kredit pada deskripsi video.

Walau bagaimanapun, platform ini mungkin tidak mempunyai muzik yang lebih terkini berbanding saluran-saluran lain yang memuatnaik muzik baru setiap hari yang akan kami kongsikan di bawah.

3. Audio Library/Vlog No Copyright Music

Di sini, anda boleh mendapatkan muzik yang dikemaskini setiap hari terdiri daripada instrumental mahupun lagu yang mempunyai lirik dan nyanyian vokal.

Mempunyai genre muzik yang pelbagai, anda hanya perlu meletakkan kredit pada ruangan deskripsi video kepada pemilik karya asal tersebut.

Sumber: Teksnologi.com, Youtube

Amira

Love yourself.