Siakap Keli
Gambar Via BERNAMA

APMM Tahan Kapal Cuba Lolos Dari Tahanan

MELAKA, 22 Mei (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan sebuah kapal tangki yang cuba lolos dari tahanan APMM Johor di perairan Selat Melaka awal pagi tadi.

Pengarahnya Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kapal tangki MT JW Jewel berkenaan ditahan pada pukul 2.30 pagi tadi pada kedudukan 1.9 batu nautika dari pantai Tanjung Tuan.

“Kapal tangki MT JW Jewel itu sebelum ini ditahan oleh APMM Johor atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Balau, Johor sebelum dikesan hilang dari kedudukan ia ditahan.

“Bagaimanapun, hasil kecekapan dan sistem APMM yang ada, kapal berkenaan akhirnya berjaya dikesan semula oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut sekitar pukul 9.55 malam tadi di perairan Tanjung Tuan, dipercayai sedang belayar menuju ke utara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata bot ronda APMM Melaka dan Negeri Sembilan kemudiannya diaturgerak ke lokasi untuk memintas kapal tersebut sebelum berjaya menahannya semula awal pagi tadi.

Beliau berkata Master dan ketua jurutera kapal warganegara Indonesia telah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan belayar tanpa kebenaran pihak berkuasa dari posisi tahanan semasa notis tahanan telah dikeluarkan kepada kapal berkenaan.

Komuniti maritim diminta bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti melanggar perundangan Malaysia di perairan Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi APMM Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story