Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19 : MB Minta Rakyat Perak Tidak Ambil Mudah Pematuhan SOP

IPOH, 21 Mei (Bernama) — Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad merayu seluruh rakyat di negeri itu agar tidak memperkecil ancaman COVID-19 dan meremehkan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kebelakangan ini, terlalu banyak persepsi yang berlegar. Terlalu banyak andaian yang memperkecil ancaman COVID-19.

“Saya bimbang apabila ada yang mengatakan COVID-19 ini hanya suatu rekaan. Hinggakan pematuhan SOP mula diperlekeh dan mula diremeh-remehkan sehingga pada satu tahap, ada yang anggap melanggar SOP itu suatu kebanggaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Saarani berkata beliau faham bahawa SOP tidak mudah untuk semua orang dan ramai yang terjejas akibat pandemik ini.

“Namun saudara dan saudari, kita tidak punya pilihan. Semua ini dilakukan demi kebaikan kita bersama. Ingatlah, kesihatan dan keselamatan nyawa tiada galang gantinya,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa mukim dan lokaliti di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak mulai 22 Mei hingga 4 Jun berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Empat mukim yang terlibat di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak; Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama; Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.