Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Dipercayai Ambulans Tak Cukup Akibat COVID-19, Lelaki Dilapor Bawa Mayat Bapanya Ke Hospital Gunakan Kereta Sorong Kayu

Seorang lelaki di India terpaksa membawa mayat bapanya sendiri ke hospital menggunakan kereta sorong kayu kerana ambulans tidak mencukupi ketika negara tersebut sedang melawan gelombang COVID-19 yang ketiga, lapor Daily Mail.

Rakaman video yang menyayat hati itu dirakamkan pada Rabu di daerah Siwan, Bihar, timur India,  menunjukkan lelaki tersebut menolak ayahnya menggunakan kereta sorong berkenaan. Tidak dapat dipastikan sama ada bapa kepada lelaki itu menderita COVID-19 atau tidak.

India sedang memerangi gelombang ketiga COVID-19 sejak beberapa bulan yang lalu, yang menyebabkan hospital di Delhi terpaksa menolak kemasukan pesakit baru pada bulan lepas kerana kekurangan katil.

Kini, sebuah video yang memaparkan seorang lelaki menolak mayat bapanya yang sedang berbaring di atas sebuah kereta sorong kayu menyusuri jalan yang tenang di daerah Siwan, Bihar telah muncul di internet.

Gambar: Daily Mail

Lelaki tersebut mendakwa bahawa dia terpaksa menyelesaikan masalahnya itu sendiri dengan memutuskan untuk membawa bapanya itu menggunakan kereta sorong kerana dia tidak dapat mencari ambulans di kawasan berkenaan.

Dia didakwa telah menunggu ambulans tiba sebelum akhirnya memutuskan untuk membawa bapanya sendiri kerana risau bahawa bapanya itu akan meninggal dunia.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right