Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKPD Perak: 12 Jemaah Solat Di Masjid, Surau Hanya Pegawai Masjid, J/kuasa Kariah

IPOH, 21 Mei (Bernama) — Hanya 12 orang jemaah terbatas kepada Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah dibenarkan untuk solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di masjid dan surau di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan titah itu, setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan.

“Solat Jumaat dibenarkan di masjid dan surau diri Jumaat sahaja, dan bagi ahli kariah yang lain, hendaklah solat zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing.

“Solat fardu dan solat jenazah pula dibenarkan di masjid, surau diri Jumaat dan surau sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Yusop berkata, azan hendaklah dilaungkan mengikut kaedah dikeluarkan Jabatan Mufti, seperti dalam Pekeliling Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan di kawasan PKPD di masjid dan surau negeri Perak, yang disusuli pengumuman oleh bilal yang bertugas seperti berikut;

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Azan sebentar tadi menandakan masuknya waktu solat fardu. Sehubungan itu, para ahli kariah disarankan untuk mendirikan solat berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing, di rumah,” katanya.

Beliau berkata, sebarang aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti kelas agama dan kuliah pengajian, turut tidak dibenarkan bagi tempoh berkenaan.

Empat mukim yang dikenakan PKPD bermula esok hingga 4 Jun di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak; Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama; Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta; serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

Sebanyak 382 kes baharu dilaporkan di Perak hari ini, berbanding 248 kes semalam.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right