Siakap Keli
Gambar: Bernama

Sarawak Energy Tutup Stesen Janakuasa Elektrik Di Kawasan Banjir

KUCHING, 21 Mei (Bernama) — Bekalan elektrik di beberapa tempat di bahagian utara Sarawak terputus berikutan banjir yang melanda kawasan itu sejak Rabu, apabila syarikat utiliti negeri, Sarawak Energy Berhad terpaksa menutup stesen janakuasa di kawasan terlibat, atas sebab-sebab keselamatan.

Naib Presiden Runcit Sarawak Energy Yusri Safri dalam satu kenyataan hari ini berkata, stesen janakuasa di Mulu tenggelam dalam banjir, di mana telah ditutup serta merta, manakala kawasan lain yang terlibat ialah Long Lama, Bario, Long Seridan dan sebahagian Limbang dan Lawas.

Beliau berkata, jalan ke beberapa penempatan di kawasan pedalaman  itu juga tenggelam akibat banjir dengan sebuah jambatan di Long Seridan runtuh dan dihanyutkan oleh arus deras, manakala jalan perhubungan antara Bario dan Long Banga terputus, akibat tanah runtuh.

“Kami memantau secara dekat keadaan banjir di beberapa kawasan pedalaman di bahagian utara akibat  hujan yang lebat dan berterusan. Bekalan kuasa di kawasan ini akan dipulihkan sebaik situasi bertambah baik dan selamat untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk mengambil tindakan menjaga keselamatan, dan mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini ketika banjir.

“Tutup suis utama rumah sebaik melihat kenaikan paras air, selain letakan barangan elektrik di tempat tinggi dan elakan menggunakan peralatan elektrik sewaktu banjir,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right