BANGKOK, 21 Mei (Bernama) — Bermula 7 Jun, warga asing yang menetap di Thailand boleh mendaftar untuk vaksinasi COVID-19.
Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata warga asing, termasuk kor diplomatik, pekerja pertubuhan antarabangsa, agensi kerajaan luar dan pelajar asing boleh mendaftar untuk vaksinasi percuma di hospital yang ditetapkan menggunakan pasport atau nombor keselamatan sosial mereka.
Beliau berkata, di Bangkok pendaftaran boleh dibuat di Hospital Vimut serta Pusat Kesihatan dan Vaksinasi Bangrak, manakala warga asing menetap di wilayah lain perlu mendaftar di hospital yang mempunyai rekod kesihatan mereka.
“Vaksinasi COVID-19 adalah Agenda Negara. Tarikh 7 Jun menandakan bermulanya kempen vaksinasi besar-besaran di Thailand dengan rakyat dan warga asing yang berdaftar akan menerima suntikan mereka,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Protokol Kementerian Luar telah menerima sekitar 7,000 nama dan akan menghantar senarai tersebut ke Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Kementerian Kesihatan Awam.
“Kumpulan ini boleh mendapatkan suntikan vaksin di hospital yang menyimpan rekod kesihatan mereka. Jabatan Kawalan Penyakit akan menetapkan dua hingga tiga hospital bagi kumpulan yang tidak mempunyai rekod kesihatan di mana-mana hospital,” katanya.
Selain itu, Natapanu berkata agensi kerajaan asing di Thailand boleh mendaftarkan pekerja mereka di Jabatan Hal Ehwal Konsul Kementerian Luar.
Warga asing lain yang turut layak termasuk pasangan kepada rakyat Thailand atau ahli keluarga, pesara, pelajar asing dan pekerja migran.
Sumber: BERNAMA