Siakap Keli
Kredit: Google

10,000 Pendaftar Di Kelantan Tidak Hadir Janji Temu Suntikan Vaksin – Exco

KOTA BHARU, 24 Mei (Bernama) — Seramai 10,000 individu yang sudah mendaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kelantan tidak menghadiri janji temu yang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin, setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata perkara ini amat mendukacitakan pelbagai pihak terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kerana telah berusaha sedaya-upaya untuk menguruskan proses vaksinasi itu sebaik mungkin.

Katanya, tindakan tersebut juga turut mengakibatkan berlakunya pembaziran dos vaksin.

“Pelbagai alasan yang mereka berikan seperti nak tukar tarikh, demam, nak bernikahlah, akhirnya jabatan kesihatan yang susah sebab dah atur elok tetapi sampai masanya, mereka (pendaftar) tidak hadir,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Justeru, Dr Izani menyeru mereka yang sudah mendaftar untuk memberikan kerjasama kepada pihak JKNK dengan menepati janji temu suntikan vaksin yang ditetapkan.

Dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan kelompok imuniti bagi membendung penularan COVID-19, Dr Izani turut menggesa penduduk Kelantan yang belum berdaftar agar berbuat demikian melalui saluran sedia ada termasuk menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya harap lebih ramai penduduk mendaftar bagi program imunisasi ini kerana insya-Allah, negeri Kelantan akan menerima bekalan vaksin Sinovac dalam kuantiti yang banyak pada Jun ini.

“Maka, saya berharap, orang ramai akan ‘berebut’ dan bukannya menolak kerana suntikan vaksin insya-Allah dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti,” katanya sambil menegaskan pihak tidak bertanggungjawab juga perlu berhenti menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin COVID-19.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penduduk Kelantan, Dr Izani menyifatkan ia masih berada pada tahap rendah sehingga berlakunya trend peningkatan kes harian COVID-19 dengan mencecah tiga angka sejak kebelakangan ini.

“Kita semua gagal (patuh) SOP (bermula) daripada rakyat, peniaga, di masjid dan semua golongan. Itulah jadinya apabila kita semua tidak mendengar nasihat para ulama, mufti dan pakar perubatan dalam hal ini.

“Jadi, saya meminta agar semua rakyat terutama di Kelantan patuh kepada SOP termasuk menjadi ‘ejen kerajaan’ dengan bantu mengingatkan antara satu sama lain untuk ikut SOP dalam membendung penularan wabak ini,” katanya.

Semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 626 kes harian baharu COVID-19 menjadikan kumulatif kes berkenaan kepada 22,546 kes dengan kluster yang masih aktif sebanyak 56.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.