Siakap Keli
Gambar: SCMP

5 Orang Dilaporkan Maut Dilanggar Pada Kelajuan 108km/j, Pemandu Dipercayai ‘Balas Dendam’ Kerana Gagal Pelaburan

Lima individu dilaporkan maut dalam kejadian langgar lari di Dalian, China pada Sabtu lalu, lapor South China Morning Post (SCMP).

Menurut portal itu, suspek disyaki berbuat demikian kerana gagal dalam pelaburan dan ingin membalas ‘dendam ke atas masyarakat’.

Kata Timbalan Ketua Polis Dalian, Qu Bo, suspek yang berusia 32 tahun itu kini telah ditahan dan berdepan dakwaan ‘membahayakan keselamatan awam’ serta boleh dikenakan hukuman mati.

“Suspek tidak dapat menerima kegagalan pelaburan peribadinya dan hilang keyakinan terhadap kehidupan, jadi dia membalas dendam kepada masyarakat,” katanya.

Dalam kejadian pada 11.40 pagi itu, rakaman tular memaparkan kelibat sebuah kereta sedan berwarna hitam memecut laju ke arah sekumpulan orang ramai yang sedang melintas di laluan pejalan kaki.

Menurut kenyataan polis, suspek yang bekerja sebagai pendandan rambut telah melanggar lampu merah serta memandu pada kelajuan 108 km/j dalam tempoh hanya 7 saat sebelum melanggar para pejalan kaki.

Empat mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di hospital.

Sementara itu, lima lagi dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.

Selepas merempuh mangsa, suspek melarikan diri dari tempat kejadian sebelum berlanggar dengan sebuah van di persimpangan. Lelaki itu kemudiannya meninggalkan kereta untuk melarikan diri namun ditahan pihak polis sekitar jam 1 petang.

Gambar: SCMP

Sumber: SCMP

Amira

Love yourself.