Vitiligo adalah keadaan autoimun di mana sel-sel yang menghasilkan pigmen atau warna pada kulit diserang dan dihancurkan. Akibatnya, terhasil tompok-tompok kulit berwarna cerah atau putih di mana-mana anggota badan, termasuk muka.
Vitiligo hanya dihidapi oleh 0.5% sehingga 2% daripada penduduk dunia, menjadikannya satu penyakit yang sangat unik dan jarang didengar.
Keunikan ini turut dikongsi oleh seorang lelaki penghidap vitiligo melalui akaun TikTok, @wanhakimwh, atau nama sebenarnya Wan Hakim.
Dalam video tersebut, lelaki yang lebih mesra disapa Wan ini berkongsi pengalamannya yang menghidap vitiligo sejak usia 19 tahun.
Video ini mendapat 794.6 ribu tontonan dan 49.2 ribu sukaan setakat ini.
“Ingatkan panau”
Pada mulanya, dia perasan ada bintik kecil berwarna putih seperti ‘dot’ di wajah. Awalnya dia menyangka bintik tersebut adalah panau kerana dia juga pernah mengalaminya semasa kecil.
Neneknya juga turut berpesan jangan main air ketika panas kerana takut panau. Namun, sedikit demi sedikit bintik-bintik itu merebak ke bahagian lain.
Kerana risau akan keadaan tersebut, Wan mengambil keputusan untuk berjumpa pakar kulit bagi mendapatkan pencerahan mengenai masalah yang dihadapinya.
@wanhakimwh Reply to @aziecaramellovanilla liku liku kehidupan ✌🏼 #vitiligo #vitiligo_boy #vitiligocheck #vitiligolove #tiktokmalaysia #fyp #foryourpage
“Pakai ‘foundation’ untuk cover“
Dalam sebuah video berbeza, lelaki berusia 22 tahun ini turut bercerita pengalamannya ketika merujuk pakar kulit.
Bercerita lebih lanjut, pakar kulit yang dirujuk berkata bahawa vitiligo sangat susah untuk diubati. Ayat mudahnya, ia tiada ubat.
Wan berkata dalam video tersebut, dia pernah mencuba salah satu alternatif seperti disarankan pakar kulit iaitu dengan mengambil ubat-ubatan berasaskan steroid, namun ia tidak berkesan untuknya.
Dia hanya memakai foundation pada kulitnya sementara mendapatkan kembali ‘semangat hidup’, ulas Wan dalam video sama.
@wanhakimwh PART2 IS OUTT! Spread this awareness wisely! #vitiligo #vitiligo_boy #vitiligocheck #vitiligolove #tiktokmalaysia #fyp #foryoupage #esekeli
Wan ketika dihubungi SK berkata, video-video yang dikongsi bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap penyakit vitiligo. Dia juga berharap usahanya terus mendapat sokongan agar lebih ramai yang tahu dan peka akan ‘keunikan’ ini.
Sumber: TikTok @wanhakimwh