Siakap Keli

Kemalangan LRT: Muhyiddin Mahu Rawatan Penuh Mangsa Diberi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rawatan penuh kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam ini diberi keutamaan.

Katanya beliau telah beri arahan kepada semua pihak supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan menyeluruh memandangkan: “kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang sedang meningkat naik”.

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah.

Kejadian berkenaan yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Muhyiddin turut mendoakan agar semua kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang