Siakap Keli
Gambar Hiasan: Solopos.com

“Seseorang Boleh Dijangkiti Apabila Menyedut..,” Ini Penjelasan KKM Mengenai Persoalan COVID-19 Merebak Melalui Udara

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini saban hari makin meningkat, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh setiap pemerintah negara. Adakah kerana virus ini mampu merebak melalui udara yang kita hirup setiap saat ini?

Kementerian Kesihatan Malaysia ada menjelaskan perkara ini menerusi ruangan Facebook. Ikuti penjelasannya di bawah.

Bolehkah COVID-19 merebak melalui udara?
Apa yang kita tahu setakat ini adalah virus SARS-CoV-2 merebak melalui titisan cecair dari hidung dan mulut individu yang dijangkiti apabila individu tersebut batuk, bersin, bercakap, menyanyi atau menghembuskan nafas. Titisan cecair ini boleh jadi partikel yang besar (droplet) atau partikel yang kecil (aerosol). Seseorang boleh dijangkiti apabila menyedut droplet atau aerosol yang mengandungi virus.
Droplet adalah lebih berat dan biasanya akan jatuh dalam lingkungan jarak 1-2 meter. Manakala aerosol boleh kekal di udara untuk tempoh yang lebih lama dan bergerak lebih jauh dari 1-2 meter. Kebolehan partikel-partikel ini kekal di udara juga bergantung kepada faktor-faktor persekitaran seperti aliran udara dan kelembapan.
Apabila kepadatan virus dalam udara tinggi, jangkitan boleh berlaku kepada individu yang berada pada jarak lebih daripada 2 meter, dan kepada individu yang hanya merentas ruang tersebut.
Keadaan di mana virus lebih mudah merebak:
•​Berinteraksi secara bersemuka pada jarak yang dekat
•​Tempat tertutup yang sesak tanpa pengudaraan yang baik
•​Aktiviti yang menambahkan hembusan titisan cecair dari seseorang yang dijangkiti seperti
sembang kuat, menjerit, menyanyi, bernafas kuat semasa bersenam
•​Pendedahan kepada keadaan-keadaan di atas untuk tempoh masa yang lama (>15 minit)
Seseorang juga boleh dijangkiti apabila menyentuh permukaan yang telah dicemari oleh titisan cecair yang mengandungi virus dan kemudian menyentuh mata, hidung atau mulut tanpa membersihkan tangan mereka, terlebih dahulu.
Oleh itu, pastikan amalan langkah-langkah pencegahan sedia ada kerana ia masih berkesan iaitu:
•​Elakkan 3S – kawasan Sempit (tertutup), kawasan Sesak dan Sembang dekat
• Pemakaian pelitup muka, samada di dalam atau luar bangunan
•​Sentiasa menjaga penjarakan fizikal
•​Sentiasa cuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer
•​Lakukan disinfeksi permukaan-permukaan yang mungkin dicemari
• Pastikan pengudaraan bilik yang baik dengan membuka tingkap atau menggunakan penapis
Udara
• Amalkan etika batuk dan bersin

Nurul Nabila