Siakap Keli
Gambar: Metro.co.uk

(Video) Lebih Sejam Tersangkut, Lengan Pelajar Ini ‘Lekat’ Di Celah Stereng Sampai Terpaksa Panggil Bomba

Seorang pelajar yang lengannya terperangkap di stereng kereta miliknya dan terpaksa menghubungi 999 untuk bantuan, lapor Metro.co.uk.

Solome Asfaw, 19 tahun, biasanya meletakkan lengannya di bahagian bawah stereng. Namun ketika kejadian, dia tidak menyedari bahawa stereng tersebut terkunci penuh, yang bermaksud jurangnya jauh lebih kecil daripada biasa.

Syukurlah, rakannya Chelsea Cariazo, 18, dalam perjalanan pulang untuk membawanya pai epal dari McDonald’s, dan cuba membantunya.

Menurut sumber, rakannya cuba menggunakan pensanitasi tangan dan baby oil untuk membantu melembutkan lengan. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku adalah cairan tersebut ‘banjir’ di kereta VW Polo milik gadis itu.

Setelah lebih satu jam percubaan, akhirnya mereka putus asa dan terus menghubungi 999.

Tidak lama kemudian, empat anggota bomba hadir dengan sebuah jentera bomba ke lokasi kejadian. Ketika itu, kereta tersebut diparkir di luar dewan Salome, Universiti De Montfort, Leicester.

Mereka berjaya membebaskan lengan pelajar berjurusan Undang-Undang itu dengan menggunakan jeli pelincir. Pada mulanya dia berasa sakit apabila lengannya ditarik, namun setelah berasa selesa, barulah Solome menariknya sendiri dan berjaya.

Solome yang berasal dari Bradford itu berkata, “Ini merupakan kejadian yang memalukan dan saya mula panik ketika menyedari bahawa saya betul-betul terperangkap di stereng saya. Semua orang keluar dari dewan, di situ terdapat dua tapak pembangunan yang berdekatan dan kesemua pekerja datang untuk menonton. Begitu juga dengan orang ramai dari gim sebelah. Saya hanya menundukkan kepala – tetapi ramai yang menghantar pesanan kepada saya dan tidak mempercayai bahawa itu saya.”

Tambahnya lagi, “Ketika saya memberitahu ibu, dia ketawa. Dia mengatakan bahawa setiap kali saya dan Chelsea berada bersama, tiada apa yang berjalan lancar. Itu benar – tidak pernah ada masa yang membosankan.”

Solome membandingkan dengan peristiwa seseorang yang meletakkan lampu suluh di mulutnya dan tidak dapat mengeluarkannya lagi. Ketika membayangkan dengan kejadian yang dihadapinya itu membuatkan Solome ketawa dengan lebih banyak lagi.

Kejadian itu tidak berakhir di situ apabila rakannya, Chelsea merakam video dan memuat naiknya di Tik Tok, kemudian ia menjadi popular. Kata Solome, “Saya tidak rasa saya akan membuatkan orang lupa mengenainya.”

Sumber: Metro.co.uk

Nurul Nabila