Siakap Keli
Gambar via South China Morning Post

Kumpul 20 Ribu Koleksi Mainan Dari Restoran ‘Fast Food’, Lelaki Ini Pegang Rekod Dunia Guinness

Masa di sekolah dulu, cikgu tanya pasal hobi, apa jawapan anda? Mungkin ada yang jawab mengumpul setem, bermain bola dan bermacam-macam lagi. Hobi setiap individu akan berubah seiring peredaran masa dan peningkatan umur.

Tapi lain pula ceritanya dengan lelaki asal Filipina ini.

Pereka grafik, Percival Lugue, memilih mengumpul mainan dari restoran makanan segera sebagai hobi. Bukan sekadar pengumpul biasa, Lugue malah memegang Rekod Dunia Guinness kerana telah berjaya mengumpul 20 ribu mainan dari pelbagai restoran makanan segera.

Gambar via South China Morning Post

Lugue yang telah mengumpul mainan sejak umur lima tahun ini mencatat rekod pada tahun 2014 setelah mengumpul 10 ribu mainan dari restoran siap saji.

Tujuh tahun kemudian, di usia yang ke 50 tahun, koleksi mainannya bertambah dua kali ganda dan masih memegang Rekod Dunia Guinness.

Lugue berkata kepada South China Morning Post, dia masih menyimpan patung ‘antik’ Hetty Spaghetti yang diperolehinya pada tahun 1988. Patung itu sangat bermakna kerana dia mengaku sedang bersama ibu tersayang ketika memperoleh patung tersebut.

Gambar via South China Morning Post

“Saya sangat menyayangi ibu saya dan dia sentiasa mendukung minat saya sebagai pengumpul mainan,” katanya.

Bagi Lugue, setiap mainan yang dimiliki punya cerita di sebaliknya. Setiap daripadanya menyimpan memori bermakna.

“Saya berhasrat untuk membuka sebuah muzium untuk koleksi mainan dari restoran-restoran makanan segera.

“Setiap kali kawan-kawan datang melawat dan nampak koleksi saya, mereka akan berkata, dulu mereka pernah ada mainan itu,” kata Lugue kepada South China Morning Post.

Lugue menambah, sekiranya dia membuka muzium untuk koleksi mainan, rakan-rakannya berpeluang mengimbau kembali memori zaman kanak-kanak mereka.

Sumber: South China Morning Post

Eyla Azri