Siakap Keli

Lelaki Ini Berjaya Tamatkan Perlumbaan Triathlon Yang Perlu Berenang, Berbasikal Dan Berlari

Berat badan 125 kilogram (kg) tidak menjadi penghalang buat seorang lelaki untuk menyertai Kejohanan Triathlon di China baru-baru ini sekaligus berjaya menyelesaikan semua perlumbaan hanya dalam tempoh 3 jam 30 minit.

Guan Zunyu yang berusia 26 tahun mengambil masa untuk berenang sepanjang 1.5 kilometer (km) selama 49 minit 43 saat, berbasikal 40 km selama 1 jam 39 minit 31 saat dan berlari sejauh 10 km selama 51 minit 25 saat. Satu pencapaian yang mengagumkan ramai!

Menyingkap semua kisah hidupnya, Guan Zunyu telah mengalami masalah obesiti sejak dari kecil dengan berat yang pernah mencecah 155 kg.

Pada tahun 2019, dia bertekad untuk menurunkan berat badan dan mula menyertai pelbagai pertandingan melibatkan aktiviti sukan dan bersenam sehingga berjaya membuang sekitar 30 kg dalam tempoh tersebut.

Menurut Guan Zunyu, cabaran terbesar dalam kejohanan ini adalah ketika acara terakhir iaitu untuk menamatkan larian sejauh 10 km. Kru yang bertugas di lokasi bimbang dengan keadaan fizikalnya yang kepenatan dan menemaninya dalam perjalanan.

“Saya merasa sangat terharu, peserta lain memberikan semangat, memuji dan bersorak untuk saya membuatnya saya lebih bermotivasi untuk menghabiskan acara sehingga ke garisan penamat,” kata Guan Zunyu.

Dia mula menjalani latihan untuk mempersiapkan diri untuk menyertai kejohanan ini pada bulan April yang lalu. Guan Zunyu akan berenang, berbasikal dan berlari selama kira-kira tiga jam pada setiap hari.

“Tidak sukar untuk bersenam selama satu hari, tetapi kesulitannya adalah melakukan perkara tersebut dalam tempoh yang lama.

”Saya memikirkan pertandingan, dan saya tidak berani berehat selama satu hari, sehingga saya dapat bersaing dengan baik dan bersenam untuk menurunkan berat badan,” katanya.

Oktober tahun lalu, Guan Zunyu juga telah mengambil bahagian dalam Wuhan Half Triathlon sebelum mencabar dirinya menyertai Kejohanan Triatlon kali ini.

“Saya pernah menyertai beberapa pertandingan lain sebelum ini dan semuanya berjaya diselesaikan, jadi saya mahu menyertai pertandingan yang lebih sukar berbanding yang pernah dilakukan,” katanya.

Sumber: sohu.com

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.