Para saintis kini memberi amaran bahawa akan berlaku kenaikan suhu global yang berbahaya sehingga melebihi had yang ditetapkan iaitu 1.5 Celcius. Ia dipercayai akan berlaku dalam tempoh waktu lima tahun bermula dari sekarang, lapor Daily Mail.
Terdapat kemungkinan bahawa 40 peratus kenaikan suhu tahunan akan melampaui tahap yang ditetapkan oleh Perjanjian Paris 2015 yang telah dipersetujui oleh 196 negara.
Tidak cuma itu, laporan yang diterbitkan oleh Organisasi Meteorologi Dunia juga memperingatkan kemungkinan yang sangat tinggi iaitu sekurang-kurangnya satu tahun antara tahun 2021 dan 2025 akan menjadi tahun yang paling panas dalam sejarah.
Suhu yang meningkat melebihi 1.5 Celcius akan menyebabkan gelombang panas yang lebih banyak, ribut hujan yang melampau, kekurangan air dan kekeringan, kerugian ekonomi yang lebih besar dan hasil tanaman yang lebih rendah, permukaan laut yang lebih tinggi dan pemusnahan terumbu karang.

Pada tahun 2020, suhu purata global adalah 1.2 Celcius iaitu di tahap ‘pra-industri’ yang menjadikannya antara tiga tahun terpanas yang pernah dicatatkan.
Ramalan peningkatan suhu ini terdapat di dalam kemaskini WMO’s Global Annual to Decadal Climate yang diketuai oleh Pejabat Meteorologi Britain.
“Peningkatan suhu bermaksud lebih banyak ais akan cair, permukaan laut akan lebih tinggi, berlakunya gelombang panas dan cuaca melampau yang lain dan memberikan kesan yang lebih besar terhadap keselamatan makanan, kesihatan, alam sekitar dan pembangunan,” kata Setiausaha Jeneral WMO, Profesor Petteri.

Di bawah Perjanjian Paris antarabangsa pula, negara-negara berjanji untuk mengehadkan kenaikan suhu jangka panjang sehingga 2 Celcius di atas tahap pra-perindustrian dan meneruskan usaha untuk mengekangnya menjadi 1.5 Celcius untuk mengurangkan risiko dan kesan perubahan iklim.
Ketua penasihat iklim di WWF, Dr Stephen Cornelius, mengatakan bahawa mengehadkan pemanasan global sehingga 1.5 Celcius sangat penting untuk mencegah kesan terburuk dari krisis iklim pada manusia dan alam.
Sumber: Daily Mail