Siakap Keli

Ini Rupanya Teknologi Canggih Yang Digunakan Supaya Air Paip Kita Selamat Dan Bersih

Dalam kita memacu kemajuan teknologi, operator air juga telah menerokai pelbagai inisiatif yang inovatif dalam merawat air mentah kepada air yang boleh diminum. ini kerana menyediakan bekalan air yang bersih dan selamat adalah komitmen berterusan bagi operator air.

Beberapa langkah telah diambil dalam memastikan bekalan air yang diagihkan kepada pengguna mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malahan, dalam satu kenyataan media yang dibuat pada 2018, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut mengesahkan yang bekalan air paip selamat untuk diminum terus daripada pili.

Walaupun begitu, masih terdapat majoriti daripada pengguna di luar sana yang masih
ragu-ragu. Adakah bekalan air paip kita selamat dan bersih? Ataupun, adakah penggunaan penapis air diperlukan?

Walaupun sesetengah pengguna berpuas hati dengan kualiti air yang dibekalkan ke premis mereka, ada juga sebahagian daripada mereka masih ragu-ragu untuk menggunakan air terus daripada pili.

Bekalan Air yang Selamat dan Bersih: Komitmen untuk Menyediakan Bekalan Air
Bersih

Sebagai operator air terbesar di Malaysia dan di rantau ini, Air Selangor bertanggungjawab untuk mengagihkan bekalan air yang bersih dan selamat kepada lebih 8 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan jajaran paip sepanjang 29,508km.

Di Air Selangor, tiga makmal wilayah utama terletak di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), Sungai Labu dan Sungai Semenyih mempunyai 20 ahli kimia dan ahli mikrobiologi berpengalaman di Seksyen Perkhidmatan Makmal di bawah Jabatan Kualiti Air.

Ahli kimia dan ahli mikrobiologi mereka telah ditugaskan dengan tanggungjawab harian dalam memastikan analisis kualiti air dijalankan berdasarkan piawaian kebangsaan dan kaedah yang bertauliah.

Ini termasuk menjalankan aktiviti persampelan di semua 34 loji rawatan air yang dikendalikan oleh Air Selangor dan juga termasuk di sepanjang jajaran pengagihan. Mereka juga akan melaksanakan analisis air di lapangan untuk parameter fizikal manakala uji kaji kimia dan mikrobiologi akan dilaksanakan di makmal wilayah.

Makmal-makmal wilayah ini telah mendapat pentauliahan daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) dalam ISO/IEC 17025:2017 dan dilengkapi dengan tiga jenis instrumen analisis yang canggih seperti Liquid Chromatography Mass Spectrometry Quadrupole Time of Flight (LCMS-QTOF), Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICPMS) dan Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS).

Peralatan ini dapat mengesan kepekatan pelbagai jenis bahan pencemar, pelarut dan logam berat pada tahap rendah serta mengesan bahan pencemar yang berpunca daripada produk farmaseutikal.

Keupayaan untuk memantau bahan pencemar baru muncul serta memanfaatkan tiga instrumen analisis dalaman dapat menaikkan nama Air Selangor untuk menjadi pelopor dalam industri perkhidmatan air.

Dalam memastikan integriti keputusan uji kaji dan pada masa yang sama pengurusan data makmal yang lebih sistematik, Air Selangor menggunakan Laboratory Information Management System (LIMS) di semua makmal wilayah.

Air yang telah dirawat sebanyak 5,000 juta liter sehari yang diagihkan oleh Air Selangor setiap hari kepada pengguna mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan Garis Panduan Kualiti Air yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Memanfaatkan Teknologi

Dalam perkembangan terkini, teknologi canggih telah dibangunkan dan digunapakai untuk memastikan bekalan air yang berterusan serta bersih dan selamat. Melalui teknologi yang canggih, Air Selangor memastikan bekalan air yang diagihkan kepada pengguna selamat dan boleh digunakan terus daripada pili.

Off-Plant Autonomous Chlorine Injection System (OACIS), adalah antara inisiatif ‘Yakini Air Kita’ merupakan sistem pengedosan klorin sekunder automatik yang digunakan untuk menangani isu ketidakpatuhan Baki Klorin Bebas (FRC) dalam sistem pengagihan.

Gambar: Off-Plant Autonomous Chlorine Injection System (OACIS) – sistem pengedosan klorin sekunder automatik

Klorin merupakan bahan pembasmi kuman yang digunakan untuk menghapuskan mikroorganisma patogen dalam bekalan air terawat. Sistem ini dipasang di kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai Baki Klorin Bebas yang rendah disebabkan oleh kadar penggunaan air yang rendah.

Tambahan lagi, penggunaan Hybrid Distribution Water Quality Real-Time Analyser (HYDRA), sebuah sistem pengawasan kualiti air dalam talian juga telah dipasang di kolam-kolam takungan perkhidmatan.

Melalui HYDRA, data yang diperoleh akan direkod dan dipantau setiap 15 minit secara digital berbanding kaedah pensampelan manual yang diambil secara mingguan atau bulanan.

Semua informasi dan data berkaitan kualiti air, notifikasi amaran serta status alatan yang digunakan akan dipamerkan di platform dalam talian HYDRA.

Memastikan Bekalan Air Bersih melalui ‘Yakini Air Kita’ menjelang 2028

Untuk memastikan komitmen berterusan dalam menyediakan bekalan air yang bersih dan selamat mampu dicapai, Air Selangor telah merangka satu pelan jangka masa panjang – Yakini Air Kita 2028.

Ini termasuklah pendekatan menyeluruh dalam memastikan bekalan air yang selamat melalui empat teras utama iaitu, pemeliharaan sumber air mentah, pengawalan dan pemantauan kualiti air, meningkatkan kapasiti dan kemampuan makmal melaksanakan diagnosis serta pemeliharaan dan rawatan kualiti air terawat.

Permintaan secara berterusan untuk bekalan air bersih dan selamat kekal menjadi keutamaan buat semua operator air. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, Air Selangor kekal teguh dan komited dalam memastikan langkah-langkah yang telah diambil mampu memberikan bekalan air yang bersih dan selamat secara berterusan kepada pengguna.

Isu Penapis Air

Meskipun terdapat pengguna yang merasakan bahawa perlunya memasang penapis air di rumah, yakinlah bahawa air yang dirawat dan diagih oleh Air Selangor mematuhi piawaian yang ditentukan oleh Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.

Sebahagian daripada kita mungkin tidak mengetahui bahawa sistem penapisan air yang dipasang di rumah akan menyingkirkan mineral yang diperlukan dalam air. Mineral- mineral ini sebenarnya selamat untuk diambil dalam julat sukatan yang betul.

Gambar: Penapis Air Backwash

Dalam tempoh masa yang tertentu, mineral yang terkumpul dalam penapis air ini akan teroksida, dan menghasilkan mendapan air berwarna kecoklatan yang boleh dilihat semasa proses pencucian berbalik (backwash).

Jangan terkejut dengan perkara ini, kerana ini tidak mencerminkan kualiti air yang dibekalkan dan diagihkan kepada pengguna. Dengan penanda aras dan komitmen yang berterusan, pengguna tidak perlu bimbang tentang kualiti dan keselamatan air yang dibekalkan.

TRIVIA!

  • Air Selangor membekalkan air minum yang selamat ke rumah anda.
  • Air Selangor telah melantik Universiti Sains Malaysia sebagai Pakar Forensik Insiden Pencemaran Air Mentah
  • Air Selangor sedang bekerjasama dengan Universiti Malaya dalam kajian mengenai kelestarian dan daya tahan (resilient) bekalan air di Sub Lembangan Sungai Rawang.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.