Siakap Keli

Jika ‘Total Lockdown’ Fasa 1 Berjaya Kurangkan Kes Covid-19, Ini Dua Lagi Fasa Yang Perlu Kita Hadapi

Sebentar tadi, kerajaan telah mengumumkan mengenai perlaksaaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bermula  1 Jun ini sehingga 14 Jun depan.

Dalam kenyataan media Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa terdapat tiga fasa ‘lockdown’ akan dilaksanakan di negara ini.

Menerusi total lockdown fasa pertama, kerajaan akan menutup semua sektor ekonomi dan sosial dalam tempoh 14 hari. Namun, penutupan penuh ini akan diulas lanjut oleh MKN dan akan dikemaskini kemudian.

Sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes harian Covid-19, kerajaan kemudiannya akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua iaitu membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan selama empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

Selepas selesainya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya adalah kerajaan akan melaksanakan Fasa Ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuatkuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan operasi tertakluk pada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja dihadkan.

Walaubagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke satu fasa yang seterusnya tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia. Penilaian akan dibuat berdasarkan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara bagi merawat Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara mengumumkan ‘total lockdown’ ini dibuat selepas kes harian Covid-19 hari ini melebihi angka 8,000 dan saban hari menunjukkan tren peningkatan yang membimbangkan.

Semoga usaha penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ini dapat melawan Covid-19 yang semakin mengganas di negara ini.

 

Sumber: Facebook PM Muhyiddin Yassin

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang