Siakap Keli
Gambar: Liputan6.com

Jumpa Lipas Cedera Di Tepi Jalan, Lelaki Prihatin Ini Bawa Serangga Itu Ke Klinik Haiwan Untuk Rawatan

Lipas adalah merupakan salah satu haiwan yang sering dianggap sebagai musuh di dalam rumah. Walaupun saiznya kecil, kehadiran serangga ini sering membuatkan ramai orang berasa geli dan takut. Walaupun begitu, ada juga yang tidak takut akan haiwan ini.

Serangga ini boleh bergerak dengan cepat dengan cara merayap atau terbang. Kebiasaannya orang akan menghindari sejurus selepas ternampak haiwan ini. Ada juga yang memilih untuk terus membunuh lipas ini, agar mereka tidak lagi muncul di masa akan datang.

Namun begitu, lain pula ceritanya bagi perkara yang dilakukan oleh seorang lelaki dari Thailand ini. Tidak berasa takut sama sekali, lelaki ini malahan telah menunjukkan keprihatinannya terhadap nasib lipas ini. Menurut portal Liputan6.com, lelaki tersebut telah menjumpai lipas yang tercedera itu di tepi jalan.

Daripada mengabaikannya dan meneruskan harinya, lelaki itu telah bertindak membawa lipas tersebut ke klinik haiwan yang berdekatan. Tindakan lelaki itu juga membuktikan bahawa setiap spesis haiwan berhak untuk hidup. Difahamkan bahawa lipas itu tercedera kerana dipijak oleh seseorang.

Tindakan lelaki itu yang membawa lipas tersebut ke doktor haiwan telah meraih pujian daripada warganet. Tidak hanya itu, doktor haiwan juga turut berkongsikan tindakan murni lelaki tersebut dan menegaskan bahawa ianya bukanlah suatu jenaka.

Namun begitu, doktor tersebut juga telah menjelaskan kepada lelaki yang tidak disebutkan namanya itu bahawa peluang untuk lipas itu hidup hanyalah 50/50. Doktor itu menambah bahawa ianya adalah kali pertama dia menerima kes yang lain daripada lain ini.

Doktor juga menyatakan bahawa dia tidak dapat berbuat banyak bagi menyelamatkan serangga tersebut. Akan tetapi, dia tetap meletakkan lipas itu di dalam tangki oksigen untuk merawatnya. Doktor juga membenarkan lelaki berkenaan merawat lipas yang hampir mati itu.

“Saya membenarkan lelaki itu membawa lipas tersebut kembali untuk merawatnya. Tidak ada sebarang caj dikenakan sama sekali. Walaupun kesnya agak pelik, saya telah merawat banyak jenis haiwan sebelum ini termasuk biawak dan kodok,” kata doktor haiwan itu.

Tindakan lelaki itu lantas menjadi tular. Ramai warganet yang memberi pelbagai komen. Daripada memuji sehinggalah yang menganggapnya sebagai jenaka.

“Terima kasih banyak atas kebaikan anda. Tindakan anda sangat baik.” tulis seorang warganet.

“Jika lipas itu tidak berjaya pulih, cari yang lain sebagai gantinya. Dan katakan kepadanya bahawa lipas itu telah pulih.” komen salah seorang warganet lain.

“Terima kasih atas berita yang mempunyai tindakan baik seperti ini. (Terima kasih dari hati).” tulis seorang lagi.

Sumber: Liputan6.com

Aqmal Ezany

I write what is right