Siakap Keli

Miliki Lebih 1 Juta Jongkong Emas, Kenali Fort Knox, ‘Kubu’ Simpanan Emas Terbesar & Paling Kebal Di Dunia

Emas merupakan bahan galian bumi yang paling tinggi nilainya, selain turut menjadi ‘penanda aras’ pengeluaran wang di sesebuah negara. Disebabkan  ‘harganya’ yang sukar jatuh dan semakin bertambah dari semasa ke semasa, emas umumnya dijadikan sebagai aset jangka panjang.

Ramai orang berpendapat bahawa antara sumber ‘bekalan’ kewangan paling ampuh ialah simpanan emas. Maka ramai yang mengambil keputusan untuk menyimpan emas, sama ada dalam bentuk ‘gold bar’, jongkong, barang kemas dan sebagainya.

Tahukah anda, terdapat satu tempat simpanan emas paling besar di dunia ini? Namanya ialah Fort Knox, sebuah ‘kubu’ simpanan emas yang terletak di Kentucky, Amerika Syarikat (US).

Dikatakan Fort Knox memiliki jutaan jongkong emas yang tersimpan di dalamnya. Ini sudah tentu nilai emas semasanya dipercayai terlalu tinggi. Malah sistem keselamatannya juga dikatakan sangat ketat.

Oleh itu mari kita fahami lima (5) fakta menarik mengenai Fort Knox di bawah ini:-

1) Dibina sejak 1937

Fort Knox merupakan pusat simpanan emas atau disebut ‘kubu emas’ yang terbesar di US. Ia mula dibina pada 1937, iaitu 84 tahun yang lalu selepas kerajaan US meluluskan Akta Kekurangan (Deficiency Act) pada 22 Julai 1936 sebagai akta menyimpan stok simpanan galian emas negara.

Mengikut polisi ekonomi US, emas merupakan aset jangka panjang negara. Bekas presiden US ke-37, Richard Nixon ketika pada zaman pemerintahannya, dia melaksanakan polisi ‘Gold Standard’ pada 1971 di mana pengeluaran dan nilai mata wang ditentukan mengikut jumlah emas semasa.

Selain itu, bekas Pengarah US Mint, Philip N. Diehl pula memaklumkan, simpanan emas negara amat penting bagi kerajaan US kerana dua sebab; iaitu untuk menyokong ekonomi dunia dan juga pengaruh politik.

2) Memiliki jutaan jongkong emas

Gambar: Google

Fort Knox dilapor menyimpan lebih 147 juta auns emas, bersamaan kira-kira 4,800 tan metrik. Jika mengikut kadar emas semasa, nilai emas di Fort Knox kini mencapai sehingga RM746 bilion.

Kebanyakan jongkong emas di sini dibentuk dengan jongkong seberat 12 kilogram setiap satu, selain turut disimpan dalam bentuk syiling.

Perlu diketahui, di US bukan Fort Knox saja tempat simpanan emas negara, malah ada beberapa lagi pusat simpanan di wilayah lain seperti di West Point, New York; Denver, California dan San Fransisco.

Di bawah ini adalah carta perbezaan jumlah simpanan emas di Fort Knox berbanding pusat simpanan yang lain. Ternyata Fort Knox menduduki tempat pertama sebagai pusat simpanan emas terbesar US dan dunia.

3) Sistem keselamatan kebal

Dikatakan struktur bangunan Fort Knox dibina menggunakan 4,200 kubik konkrit, 16,000 kaki kubik granit, 750 tan besi yang dikuatkan semula (reinforced steel) dan 670 tan besi struktur (structural steel). Pembinaannya memakan kos sehingga lebih RM41 juta ketika itu.

Selain itu, bumbungnya pula memiliki ciri-ciri khas kalis bom. Pintu masuk utamanya pula dibina menggunakan besi mampat seberat 20 tan dan memiliki ketebalan sebanyak 21 inci.

Gambar: History

Tidak hanya besi yang tebal, pintu tersebut turut ‘kebal’ dan kalis daripada tebukan, kebakaran dan letupan. Ianya sudah tentu menyukarkan untuk ditembusi, apatah lagi dipecah masuk oleh perompak.

Namun begitu, kebanyakan laporan tidak menyatakan secara terperinci tentang ciri-ciri keselamatan lain yang ada pada bangunan ini. Difahamkan ianya adalah rahsia sulit negara yang semua orang tidak tahu.

4) Dikawal ketat unit keselamatan khas

Gambar: Google

Seluruh kawasan Fort Knox ‘dipagari’ kawalan ketat oleh agensi penguatkuasaan terawal di US yang ditubuhkan pada 1792, iaitu US Mint Police. Difahamkan seramai hampir 400 penguatkuasa bertugas mengawal keselamatan kawasan ini.

Dikatakan setiap penguatkuasa yang dilantik pernah menjalani latihan asas keselamatan selama tiga bulan, sebelum menempuh latihan lapangan selama lima minggu selanjutnya. Mereka dilatih dengan taktikal keselamatan yang bertahap ‘heavy-duty’.

Tidak hanya dengan itu, lokasinya juga sangat strategik kerana ia betul-betul terletak di tengah-tengah Kem Tentera US Kentucky yang berkeluasan 109,000 ekar persegi, di mana ia menjadi medan latihan utama tentera darat dari seluruh negara.

5) Tiada siapa pun boleh masuk, walaupun presiden

Menariknya, disebabkan kawalannya yang begitu sulit, tiada seorang pun individu yang dibenarkan memasuki kawasan ini, malah jauh sekali untuk dijadikan tempat lawatan bagi pelancong.

Walaupun US diperintah oleh presiden yang menjadi kuasa tertinggi negara, itu bukanlah ‘lesen’ untuk melanggar polisi yang ditetapkan. Sepanjang kewujudannya, hanya seorang saja presiden US, iaitu Franklin Roosevelt (presiden ke-35, 1933 hingga 1945) yang pernah dibenarkan masuk ke sana.

Gambar: History

Al-kisahnya, Franklin mendakwa dia tidak yakin dengan tahap keselamatan Fort Knox untuk melindungi simpanan emas daripada diceroboh dan dirampas musuh.

Sehinggalah pada 1943, dia bertandang ke Kentucky untuk memantau sendiri Fort Knox (menyebabkannya dibenarkan masuk) dan akhirnya dia berpuas hati dengan tahap keselamatan pusat simpanan emas tersebut.

Sumber: Money Wise / History / US Money Reserve

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'