Siakap Keli
Gambar: Abdul Muhaimin

“Abah Saya Aliran Pondok, Tapi..,” Bapa Punya Semangat Nak Ambil Vaksin, Lagi Laju ‘Refer’ ke Doktor Berbanding Anaknya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Berdasarkan laporan, puluhan ribu individu disahkan gagal hadir ke janji temu vaksin termasuk hampir 10,000 di Kelantan, Kedah (10,827), Johor (14,144), Perak (9,000) dan Negeri Sembilan (6,200) biarpun sudah mendapat tarikh vaksinasi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman, antara alasan yang diberikan ialah tidak mengetahui tarikh janji temu, tidak sihat, berada di luar kawasan serta segelintir yang enggan divaksin.

Bagi individu yang telah divaksin pula, ramai yang berkongsi pengalaman mereka di media sosial sebagai galakan kepada individu lain untuk turut sama menyertai ikhtiar ini selain membendung pengaruh menentang vaksinasi dalam kalangan masyarakat.

Antaranya ialah seorang pemuda jurusan Usuluddin di Universiti Jordan, saudara Abdul Muhaimin yang berkongsi pengalaman bapanya mendapatkan dos kedua vaksin baru-baru ini.

“Semalam abah dah selesai dos kedua Pfizer alhamdulillah. Abah saya aliran pondok, tapi pembacaannya meluas.

“Kitab beliau sangat banyak, merangkumi pelbagai bidang. Kalau balik kg, kami selalu bincang isu-isu berkaitan agama bersama, habis semua kitab dibuka, riuh rendah rumah kami dengan perbincangan.

Kongsinya, ayahnya merupakan seorang yang cukup mencintai ilmu dan gemar membaca. Malah, beliau juga boleh demam jika terpaksa meninggalkan hobi membacanya ketika musim perayaan.

Tambah Muhaimin, ayahnya juga akan merujuk sesuatu isu kepada pakar jika terdapat kemusykilan.

Malah, beliau lebih proaktif dan bersemangat untuk mengambil vaksin apabila terlebih dahulu menghubungi doktor untuk meminta pendapat bagi status pengambilan vaksin berdasarkan keadaan kesihatannya.

“Jadi begitu lah, alhamdulillah abah orang pertama dalam keluarga ambil dos pertama, dan abah jugak orang pertama selesaikan dos kedua.

“Satu lagi nak cakap, abah saya orang Kelantan, asal Tok Uban, Pasir Mas.. Tapi kemudian berhijrah ke Langkawi, Kedah..

“Guano sep kito, jange lupo gi cocok blakoo,” ujarnya menamatkan perkongsian.

Sumber: Abdul Muhaimin, Bernama

Amira

Love yourself.