Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID: Hospital Labuan Beroperasi Pada Kapasiti Maksimum Untuk Pesakit Berisiko Tinggi

LABUAN, 29 Mei (Bernama) — Kadar penggunaan katil untuk rawatan COVID-19 di Hospital Nukleus Labuan telah mencapai kapasiti maksimum, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata satu-satunya pilihan yang ada adalah untuk memaksimumkan (kapasiti) dan menggunakan sepenuhnya ruang hospital untuk menampung pesakit berisiko tinggi COVID-19 yang meningkat setiap hari.

“Walaupun terdapat peningkatan harian dalam jumlah kes positif, keupayaan hospital dan kesiapsiagaan kecemasan masih kekal utuh dan kami akan lakukan yang terbaik untuk memenuhi harapan rakyat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata beberapa wad dan kemudahan perubatan di hospital itu juga telah dijadikan wad COVID-19.

Beliau juga berkata terdapat tujuh pesakit COVID-19 yang mengalami morbiditi di hospital itu bergantung kepada ventilator perubatan.

“Kami hanya mempunyai 11 unit ventilator, tujuh sedang digunakan dan empat unit lagi adalah untuk pesakit yang mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Dr Ismuni berkata sekiranya kes positif harian terus meningkat, hingga tiada lagi ruang di hospital, kemungkinan kawasan tertentu di pusat kuarantin berisiko rendah sedia ada di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan (terletak bersebelahan hospital) akan dijadikan wad COVID-19.

“Kita mesti bersedia untuk hadapi situasi terburuk, jika keadaan semakin teruk, kami ada pelan kontigensi menjadikan asrama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan sebagai hospital sementara bagi pesakit bukan COVID-19,” katanya.

Labuan mencatatkan kes positif tertinggi iaitu 253, dengan kluster yang baru muncul Simpang Sungai (di sebuah perkampungan yang padat penduduk) dan satu kematian hari ini.

Labuan, pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia mempunyai kumulatif jangkitan 3,423 dan dikaitkan dengan lima kluster aktif iaitu Kluster Layang-Layangan, Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Patau-Patau dan kluster yang baru muncul, Simpang Sungai dengan 18 kematian setakat ini.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right