Siakap Keli
Gambar: Newsweek/Google (Gambar hiasan)

“Kali Ini Baunya Cukup Kuat,” Wanita Dilapor Ditemui Mati, Mayatnya Dimakan Kucing

Seorang wanita warga emas di Sepanyol ditemui mati dengan sebahagian badan telah dimakan oleh kucing-kucing peliharaannya, lapor Newsweek.com.

Menurut portal itu, wanita berusia 79 tahun berkenaan dikatakan tinggal bersendirian sebelum ditemui dalam keadaan jasad terpisah di dalam apartmentnya pada Isnin.

Jasad wanita itu dikelilingi lima kucingnya yang turut meninggal dunia manakala dua lagi kucing dalam keadaan kekurangan nutrisi yang teruk, tambah portal berkenaan.

Wanita itu dipercayai tinggal berjauhan dengan keluarganya yang berada di Colombia.

Kongsi jiran tetangga, mendiang sudah lama tidak kelihatan sejak beberapa minggu lalu manakala peti suratnya melimpah. Malah, beberapa jiran yang cuba menghubunginya melalui telefon dan membunyikan loceng di rumahnya juga tidak mendapat respon daripada mangsa.

“Kekadang bau busuk sebab kucing dan bau makanan, tetapi kali ini baunya cukup kuat,” kata salah seorang jiran.

Susulan bau busuk itu, penduduk tempatan telah membuat laporan polis sebelum terbongkarnya penemuan jasad wanita itu yang telah reput teruk.

Tambah Newsweek.com, hasil bedah siasat mendapati wanita itu meninggal dunia kerana sebab semulajadi dipercayai antara satu hingga tiga bulan lalu.

Autopsi ke atas jasad kucing-kucingnya yang telah mati akibat kebuluran juga mengesahkan terdapat bahagian badan mangsa di dalamnya.

Gambar hiasan. (Gambar: NewsWeek)

Berdasarkan laporan, wanita yang mengalami sindrom Diogenes itu dikatakan tidak dapat dilihat di kejiranan berkenaan sejak tahun lalu selepas dia dipercayai jatuh sakit. Sebahagian jiran percaya wanita itu telah dijangkiti COVID-19.

Dua kucing yang masih hidup telah dibawa ke pusat perlindungan haiwan tempatan.

“Seorang polis beritahu kami, ini adalah perkara paling teruk pernah dia lihat sejak mula bekerja,” kata salah seorang jiran seperti dilapor Newsweek.

Kecenderungan kucing makan jasad manusia

Memetik Daily Mail, kajian oleh Colorado Mesa University’s Forensic Investigation mendapati kucing mempunyai kecenderungan untuk memakan mayat manusia yang mereput.

Dalam kajian mengenai proses pereputan mayat, para penyelidik mendapati terdapat dua ekor kucing liar mengambil kesempatan memakan daging jasad yang diletakkan di luar stesen kajian mereka selama 35 hari berturut-turut.

Biarpun kedua-dua kucing itu mempunyai ‘pilihan’ 40 jasad berbeza, haiwan itu dikatakan sering kembali memakan dua jasad pada setiap malam yang merupakan jasad seorang lelaki dan perempuan warga emas yang masing-masing berusia 70 dan 79 tahun.

Malah, penyelidik turut mendapati haiwan itu lebih memilih tisu yang lembut seperti pada bahu dan lengan.

Walau bagaimanapun, pasukan menyatakan bahawa corak ini lebih mirip kepada kucing spesies bobcat yang mencari makanan berbanding kucing domestik.

Sumber: Newsweek.com, Daily Mail

Amira

Love yourself.