Siakap Keli
Gambar: Bernama

Masjid, Surau Di Melaka Perdengar Bacaan Yasin Waktu Maghrib Setiap Hari

MELAKA, 29 Mei (Bernama) — Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengarahkan semua masjid dan surau memperdengarkan bacaan Yasin setiap hari selepas solat maghrib bermula hari ini.

Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata inisiatif itu bagi memohon perlindungan wabak COVID-19 yang kian meningkat di negara ini dan memohon kesejahteraan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.

Beliau berkata alunan bacaan surah dan doa itu akan diperdengarkan menerusi alat siar raya di semua surau dan masjid mengikut kawasan kariah setempat.

“Selepas waktu azan atau solat subuh, zuhur, asar dan isyak pula bacaan ayat suci al-Quran serta doa juga akan diperdengarkan bermula hari ini.

“Kita berharap usaha supaya Allah SWT mengurniakan perlindungan kepada rakyat di negeri ini dan Malaysia daripada ancaman pandemik itu serta untuk rakyat Palestin yang ditindas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Che Sukri berkata kekuatan bunyi alat siar raya mengalunkan bacaan surah Yasin, al-Quran dan doa cukup untuk didengari serta diaminkan oleh anak-anak kariah kawasan masing-masing.

“JAIM juga menyediakan fail audio rakaman doa keselamatan dan bacaan Yasin yang boleh dimuat turun oleh jawatankuasa surau atau masjid menerusi laman web www.jaim.gov.my atau laman Facebook JAIM.

“Bagi alunan bacaan ayat suci al-Quran, hendaklah diuruskan oleh jawatankuasa masjid dan surau,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.