KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SELangkah dalam isu pendaftaran vaksin AstraZeneca di bawah kempen bantuan (outreach) ImuniSel tempoh hari seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan bersama malam ini memaklumkan ImuniSel adalah sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mendaftar vaksin secara luar talian (offline) untuk golongan yang sukar mempunyai akses digital.
Kenyataan itu menyebut setiap individu yang membuat pendaftaran vaksin menerusi ImuniSel telah memberikan kebenaran untuk didaftarkan bagi vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan namun tempahan slot vaksin AstraZeneca dibuat secara sukarela atau ‘opt in’ atas persetujuan dan pemahaman setiap individu terhadap vaksin AstraZeneca.
“ Justeru, pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca memerlukan persetujuan berbeza berbanding vaksin-vaksin lain yang berada dalam program arus perdana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, menerusi pendaftaran vaksin AstraZeneca yang dibuat oleh Imunisel tanpa pengetahuan mereka yang terlibat, terdapat beberapa individu yang telah terlebih dahulu menerima janji temu vaksinasi bukan AstraZeneca digantikan dengan janji temu baharu bagi vaksin AstraZeneca.
Sumber: Bernama