Dah lama rasanya kita tak dapat pergi melancong ke mana-mana kan? Jangankan kata nak ke luar negara, nak rentas negeri pun belum tentu lepas. Tapi tidak di negara lain, ada antaranya yang sudah mula membenarkan pergerakan melibatkan pelancongan.
Tahukah anda, terdapat tujuh negara di Eropah sudah dalam proses untuk membenarkan rakyatnya melancong iaitu Bulgaria, Republik Czech, Denmark, Jerman, Greece, Croatia dan Poland. Tapi bagaimana mereka bergerak ya?
Sijil Digital Hijau
Sijil Digital Hijau (Digital Green Certificate) adalah sistem sijil digital yang merekodkan status vaksinasi COVID-19 seseorang individu. Pendek kata, sesiapa yang sudah disuntik vaksin, mereka layak menerima sijil digital ini.
Menariknya, sijil digital ini juga turut menyimpan data peribadi kesihatan individu, sama ada dia pernah dijangkiti COVID-19 dan telah pulih, ataupun hasil keputusan ujian saringan swab yang dijalankan dalam masa 72 jam.

Suruhanjaya Eropah memaklumkan, sijil ini diberikan dalam bentuk digital (atas talian) mahupun bercetak (kertas) yang turut dilengkapi tandatangan digital serta kod QR khas bagi mengelakkan sebarang pemalsuan maklumat.
Difahamkan setiap hospital, pusat ujian saringan atau fasiliti kesihatan, mereka mempunyai tandatangan digital tersendiri yang disimpan dalam pangkalan data negara yang dikawal ketat. Malah tandatangan digital itu turut sah diguna pakai di seluruh Eropah.
Selain itu, bulan Jun ini merupakan fasa percubaan. Kebanyakan negara di Eropah diberi peluang untuk melaksanakan pensijilan digital dalam kalangan rakyat secara sukarela.
Merujuk suruhanjaya itu lagi, usaha pelaksanaan sistem sijil digital besar-besaran di kesemua 27 negara Eropah dijangka dapat dicapai sepenuhnya pada 1 Julai ini.
Usaha sijil digital ini membuka peluang kepada orang awam untuk ‘kembali’ merasai kehidupan normal seperti sediakala.
Bahasa mudahnya, sijil digital ini boleh dianggap sebagai pasport versi baharu. Hanya individu yang pernah divaksin (seperti yang direkodkan) sahaja dibenarkan untuk bergerak merentas negara.
Mungkin ini satu usaha yang baik untuk memastikan kehidupan dapat kembali normal. Bagaimana pula di benua lain termasuk Asia ye?