Secara rasminya negara kita baru saja memulakan fasa Sekatan Pergerakan Penuh atau disebut ‘total lockdown’ Fasa Pertama bermula 1 Jun semalam. Sekatan penuh pada kali ini lebih ditumpukan kepada sektor-sektor ekonomi dan sosial dalam usaha menurunkan kadar jangkitan COVID-19.
Umum mengetahui, hari demi hari kerajaan terpaksa memerah ‘akal’ berfikir untuk melaksanakan keputusan terbaik demi kesenangan rakyat. Banyak kementerian masing-masing memainkan peranannya sendiri dalam memastikan ‘misi’ kali ini berjaya.
Antara dua badan kerajaan paling menjadi tumpuan sepanjang pandemik ini ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikepalai Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipimpin ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Berbalik kepada isu, MKN sendiri beberapa kali telah menetapkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) mengenai langkah pencegahan jangkitan. Semua yang ditetapkan dipercayai adalah daripada perbincangan Sidang Khas Jemaah Menteri.
Bagaimanapun pada hari ini, Ismail Sabri memuat naik satu kenyataan ringkas di laman Facebooknya yang berbunyi, “Saya dah tutup pintu depan tapi…..”

Walaupun ringkas, tapi kenyataan ini ternyata mencetuskan pelbagai tanda tanya daripada kalangan netizen. Dalam masa beberapa minit saja, hantaran itu telah meraih perhatian warganet dengan menerima lebih 16,000 tanda ‘Likes’, hampir 4,000 komentar dan 2,400 perkongsian.
Antara isu panas yang dikaitkan oleh warganet adalah tentang keputusan sebuah kementerian yang membenarkan permohonan puluhan ribu syarikat untuk kekal beroperasi walaupun negara sedang melalui fasa ‘total lockdown’.
Persoalannya, apakah yang dimaksudkan oleh Ismail sebenarnya?
Sumber: FB Ismail Sabri