Baru-baru ini, negara digemparkan dengan berita 16 pesawat dari China yang memasuki ruang udara Malaysia. Walaupun isu ini telah menemukan ‘titik terang’ dengan kenyataan-kenyataan rasmi dari pihak yang berkenaan, masih muncul spekulasi tidak enak dari sesetengah individu berkenaan perkara ini.
Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui akaun YouTubenya, Raeiz Hamed, memuatnaik video mengulas isu tersebut. Beliau tampil menyuarakan pendapat peribadi berdasarkan pengalamannya selama 14 tahun menjadi pegawai berpangkat Kapten di TUDM, tanpa mewakili mana-mana pihak.
Kata beliau, pesawat-pesawat yang memasuki ruang udara Malaysia tersebut bukanlah pesawat pejuang seperti yang digembar-gemburkan, melainkan pesawat ketenteraan jenis pengangkut.
Mengenai kenyataan sesetengah warga net yang berkata bahawa radar yang digunakan TUDM lemah, bekas juruterbang ini menyangkal tuduhan tersebut. Tambah beliau, ketangkasan pihak TUDM dalam melakukan tindakan wajar mendapat pujian.
“Kita (TUDM) punya radar dan aset aircraft pun sangat capable (berkebolehan) dan berjaya memintas pesawat-pesawat daripada China dan mereka pun patah balik,” ungkapnya dalam video tersebut.
Dalam video yang sama, bekas juruterbang tersebut turut menerangkan tentang isu pertindihan sempadan perairan di kawasan Zon Ekonomi Ekskusif (EEZ) yang pernah berlaku antara China dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain, termasuk Malaysia.
Untuk mendengar ulasan lanjut beliau, ikuti video di bawah ini.
Sumber: YouTube Raeiz Hamed