Seorang dilaporkan cedera manakala dua lagi terperangkap dalam runtuhan selepas sebuah kontena berlaga dengan kapal lain, menyebabkan dua kren kontena runtuh di Pelabuhan Kaohsiung, Taiwan, hari ini.
Menurut Taiwan English News, kejadian pada 11.30 pagi tadi melibatkan kapal kontena sepanjang 316 meter dengan berat 86,679 tan. Tragedi berlaku apabila kapal tersebut berselisih dengan sebuah kapal lain dengan berat 32,720 tan ketika cuba berlabuh di pelabuhan tersebut.
Perlanggaran itu menyebabkan dua daripada empat kren kontena runtuh dan mengenai timbunan kontena lain, menyebabkan struktur itu turut terjatuh, lapor portal tersebut.
Kejadian berkenaan menyebabkan seorang pekerja cedera manakala dua pengendali terperangkap di dalam kren terlibat.
Mangsa yang tercedera telah dirawat di hospital tempatan bagi kecederaan luka pada lengan dan kaki.
Sementara itu, dua pekerja yang terperangkap dilaporkan berjaya dikeluarkan sekitar 12.44 pm waktu tempatan serta dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Tambah portal berkenaan, Pelabuhan Kaohsiung merupakan pelabuhan terbesar di Taiwan dan merupakan pelabuhan kelima terbesar di dunia.
Sekitar tiga perempat daripada kontena negara berkenaan menggunakan pelabuhan itu sebagai laluan keluar dan masuk negara, lapor Taiwan English News.



Detik-detik cemas pekerja selamatkan diri daripada runtuhan kren
Sumber: Taiwan English News,