Siakap Keli

(Video) Seakan-akan Tanda ‘Amaran’, Tular Aksi Pengantin Belanja Kekuatan Patahkan Batang Besi Depan Suami Di Hari Persandingan

Kebiasaannya, semasa majlis persandingan diadakan, pengantin akan menari atau menyanyi sahaja. Tetapi, berbeza pula dengan majlis persandingan di Jawa Tengah, Indonesia ini apabila pengantin perempuan melakukan aksi yang tidak terjangka.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, pengantin perempuan itu dilihat melakukan ‘persembahan’ dengan mematahkan besi.

Pengantin perempuan yang berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Rakhmalutfita melakukan aksi itu ketika majlis persandingannya pada 30 Mei yang lalu, lapor Tribun News.

Menurutnya, aksi pematahan besi itu dilakukan secara spontan dan idea untuk melakukannya timbul menjelang hari ketiga pernikahannya.

Rakhma juga merupakan ahli pencak silat bela diri Tangan Kosong (PPS Betako) Merpati Putih di Purbalingga. Justeru, tidak hairanlah dia mampu mematahkan kesemua besi tanpa ragu-ragu.

“Saya menyertai Merpati Putih selama enam tahun sejak sekolah menengah, empat tahun setelah tamat sekolah vokasional, saya tidak pernah berlatih. Alhamdulillah, saya berjaya juga mematahkan besi itu walaupun sudah lama tidak melakukannya,” katanya.

Menurut Tribun News, sebelum melakukan aksi tersebut, Rakhma sempat berlatih terlebih dahulu. Dia telah mematahkan dua batang besi pada sebelah petang sebelum upacara perkahwinan berlangsung.

Ketika melakukan aksi itu, Rakhma mengakui bahawa dia sama sekali tidak merasa sakit. Menurutnya, kesakitan hanya dirasai pada waktu malam.

“Ketika acara berlangsung, adrenalin saya meningkat kerana disaksikan oleh mentua dan keluarga. Ia membuatkan saya tidak takut dan percaya pada diri sehingga tidak merasakan sakit ketika melakukannya.

“Sakitnya terasa pada waktu malam tetapi cuma lebam sedikit saja,” katanya.

Rata-rata warganet memuji aksi tangkas yang dilakukan oleh Rakhma dan ada yang berseloroh bahawa suaminya perlu berhati-hati serta tidak menimbulkan masalah agar tidak menerima ‘padahnya’ nanti.

Sumber: Tribun News

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.