Pelakon aksi tersohor Asia, Donnie Yen dilapor bakal muncul dalam filem John Wick 4 dan akan membawa watak sebagai pembunuh upahan yang juga rakan lama kepada Keenu Reeves selain berkongsi sejarah dan musuh yang sama.
Perkara berkenaan dilaporkan oleh portal berita hiburan, Deadline.
Terkenal di negara-negara Asia dengan beberapa filem aksi terutamanya Ip Man, Yen dikatakan memiliki bakat bertempur kontemporari dan fakta berkenaan telah menarik minat pengarah filem, Chad Stahelski untuk dibawa masuk dalam John Wick 4.
John Wick 4 dijadual akan memulakan penggambaran pada musim panas ini dan beberapa negara disebut-sebut menjadi latar filem tersebut antaranya Perancis, Jerman dan Jepun.
Menurut Stahelski, mereka merasa sangat teruja bekerjasama dengan Yen dan tidak sabar untuk menggandingkan bintang terkemuka itu dalam satu projek bersama-sama dengan Reeves.
Filem Joh Wick berkisarkan perjalanan seorang pembunuh upahan terhebat yang memburu individu bertanggungjawab menceroboh rumah dan mencuri kereta vintage miliknya serta membunuh anjing peliharaan kesayangannya.
Dalam sekual yang diterbitkan pada 2017 dan 2019, John Wick kemudian berjuang untuk menyelamatkan diri dan kekal hidup selepas ganjaran telah dikeluarkan bagi mana-mana individu yang mampu membunuhnya.
Bagaimanapun, kisah yang bakal digarap dalam John Wick kekal misteri sehingga kini. Apakah Yen akan membawa watak sebagai kawan lama yang masih mempunyai hubungan baik dengan Wick, ataupun dihantar untuk memburu kepalanya? Sama-sama kita nantikan Mei 2022 nanti.