KUCHING, 3 Jun (Bernama) — Empat lagi lokaliti di Sarawak iaitu di kawasan Sri Aman, Asajaya, Samarahan dan Dalat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PKPD dilaksanakan di rumah panjang (Rh) Jerry Lai Kampung Siga, Sri Aman bermula semalam hingga 15 Jun dan di Kampung Jaie, Asajaya bermula hari ini hingga 16 Jun.
Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Empila, Samarahan bermula 4 hingga 17 Jun manakala PKPD di Rh. Sigah anak Lak Sg Baoh Burak di Dalat pada 5 hingga 18 Jun.
“Sementara itu, PKPD di Rh. Ajing Selepong Lop, Sri Aman dan Rh. Aji Sunga Ban, Sri Aman dilanjutkan sehingga 15 Jun,” menurut JPBN.
Sarawak hari ini mencatatkan 594 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 49,214.
Selain itu, enam kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah mereka yang terkorban kepada 311 orang.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Sungai Selangan di Sarikei.
Menurut JPBN, kluster tersebut merupakan kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Selangan di Sarikei yang berlaku hasil pergaulan sosial dalam kalangan penduduk di rumah panjang tersebut.
“Sejumlah 286 individu telah disaring dan 101 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks dan 185 kes didapati negatif,” menurut JPBN.
Sumber: BERNAMA