Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Anak-Anak Membesar Dalam Kebun Sayur, Stor Besi Daif Dan Panas Jadi Tempat Berteduh 3 Beranak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tidak semua mereka yang hidup bersendiri itu kuat. Bagi individu yang masih bujang, mungkin tidak jadi masalah. Namun bagi yang bergelar bapa tunggal, ianya tidaklah semudah yang difikirkan.

Gelaran ‘tunggal’ pada istilah bapa tunggal itu sendiri sudah menyakitkan. Apatah lagi ia menjadi sebegitu kerana peristiwa silam yang melukakan. Hilangnya isteri dibawa takdir, sama ada pergi dijemput Ilahi, mahupun berpisah kerana tidak lagi sefahaman.

Lebih memeritkan, ‘tunggalnya’ seseorang bapa itu sambil mendukung anak-anak, berlapikkan kudrat bersama tanggungjawab di bahu. Dengan hari ini yang masih terumbang-ambing, entah bagaimana pula esok yang belum pasti.

Demikianlah yang dirasai oleh seorang bapa tunggal ini. Hidupnya sudah lama ‘sepi’ tanpa isteri di sisi. Tapi demi anak-anak tersayang, hidup tetap mesti diteruskan walau hidup dalam serba kekurangan di sebuah stor besi daif di dalam kebun.

Mari ikuti perkongsian Sedekah Jumaat oleh aktivis kemanusiaan, Natipah Abu di bawah ini.

Rumah tangga 12 tahun ‘runtuh’, stor besi daif dalam kebun ini jadi tempat berteduh 3 beranak

Gambar: Natipah Abu

Sedekah Jumaat: bapa tunggal

Keperluan: RM5,000

Sumbangan: Maybank Natipah Abu 552107617521

Keadaan keluarga ini dipanjangkan kepada kita oleh seorang hamba Allah yang mengupah dia membaik pulih rumahnya.

Dia, Encik Jaiton bin Yahya (gambar), 53 tahun, seorang bapa tunggal. Ayah kepada dua anak ini telah berpisah dengan bekas isteri sejak dua tahun yang lalu.

Sebelum ini, Encik Jaiton tinggal serumah dengan keluarga mertuanya sejak awal perkahwinan lagi.

Tiada jodoh, Encik Jaiton akhirnya berpisah dengan isteri setelah 12 tahun lamanya meniti suka-duka hidup bersama.

Setelah berpisah, Encik Jaiton yang hanya pandai bertukang rumah itu membuat keputusan untuk menghantar dua orang anaknya ke rumah anak yatim.

Gambar: Natipah Abu

Dia tidak ingin kerana pendapatannya yang tidak tetap itu, pelajaran anak-anak terganggu.

Sambil tersenyum..Encik Jaiton dengan sebaknya memberitahu, anak-anaknya sangat lancar mengaji Quran. Baginya, itu lebih bermakna dari segalanya.

Anak-anak sangat rapat dengan Encik Jaiton. Sejak dimasukkan ke asrama rumah anak yatim, setiap kali bercuti, anak-anak memilih untuk balik ke sisi ayah.

Walaupun ayah hanya tinggal dalam stor di sebuah kebun sayur yang panas dan dhaif, anak-anak tetap bahagia bersama ayah.

Sudah tentu, si ayah seorang yang punya sifat pengasih dan penyayang terhadap anak-anak yang sangat mendalam.

Gambar: Natipah Abu

Malu dengan orang..akhirnya rahsia terbongkar

Si ayah terus merahsiakan tentang tempat kediamannya ini atas rasa malu sehinggalah terbongkar baru-baru ini bila hamba Allah, tuan rumah tempat dia bekerja, mendesak ingin melihat keadaan rumahnya.

Hati siapalah tidak luluh demi terpandang saja wajah dua orang anak kecil yang berusia 11 dan 9 tahun yang hidup di dalam keadaan begitu.

Oleh itu, kita telah mengambil keputusan untuk memindahkan keluarga ini ke rumah sewa yang lebih selesa.

Susulan langkah Kementerian Pendidikan melaksanakan PDPR, maka banyak rumah anak yatim ditutup dan anak-anak kembali ke pangkuan waris masing-masing. Begitu juga dengan anak-anak ini.

Gambar: Natipah Abu
Gambar: Natipah Abu

Maka itu Sedekah Jumaat kita hari ini diakad untuk membantu Encik Jaiton Bin Yahya (53 tahun) berpindah ke rumah baru. Membayar deposit dan membeli kelengkapan asas rumah seadanya.

“Adakah setelah hidup ini kembali stabil, abang akan rujuk semula dengan isteri? Masih ada rasa sayang lagi tak?”

Dia diam..menundukkan wajah untuk seketika lalu berkata,

“Saya sayang anak-anak saya. Kesian anak-anak saya. Orang lain ada mak-ayah. Tapi buat masa ini, hati saya masih luka. Maklumlah saya ni orang susah..”

Semoga ada sinar baru buat mereka sekeluarga.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Mari bantu Encik Jaiton

Bersempena dengan pagi Jumaat yang mulia ini, eloklah juga kita ‘ringankan’ hati untuk bersedekah kepada Encik Jaiton melalui platform Sedekah Jumaat kali ini.

Jika sudi, hulurkanlah sumbangan anda yang diamanahkan kepada Natipah Abu melalui nombor akaun 552107617521 (Maybank). Semoga ada sinar baharu buat mereka, mudah-mudahan. Amin.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.