Bila mempunyai anak sendiri, setiap pasangan suami isteri pasti sentiasa ingin memberikan yang terbaik buat kesayangan mereka termasuk apabila tibanya hari ulang tahun kelahiran.
Kek yang lazat dan besar, hadiah-hadiah dan kehadiran tetamu yang ramai. Itu kebiasannya suasana yang dapat dilihat apabila meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak-anak kesayangan.
Pun begitu, tidak semua orang mampu mengadakan majlis sambutan hari jadi. Bahkan untuk membeli sebiji kek sekalipun, ia sesuatu yang sangat ‘mahal’ untuk dimiliki oleh sesetengah orang.
Baru-baru ini, tular satu video di Indonesia yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan sedang meniup lilin pada ‘kek’ hari jadinya.
Apa yang memilukan adalah ‘kek’ itu sebenarnya merupakan dua biji pisang dan satu biji limau yang ‘dihias’ di atas satu periuk.
Tetap gembira dan mengukir senyum
Dengan memakai gaun yang cantik dan wajah yang riang, kanak-kanak yang dipercayai berusia tiga tahun itu turut bertepuk apabila menyanyikan lagu hari jadi sambil diiringi oleh kedua-dua ibu bapanya.
View this post on Instagram
Dia tetap mengukir senyum dan bersorak gembira walaupun ‘kek’ tersebut tidaklah istimewa seperti yang ditiup oleh kanak-kanak yang lain.
Menerusi perkongsian di Instagram Warung_jurnalis itu, ibu bapa kepada kanak-kanak itu dipercayai sudah kehilangan pekerjaan. Mungkin disebabkan itulah mereka tiada wang untuk membelikan kek kepada anak mereka.
Setelah selesai meniup lilin, kanak-kanak itu dilihat bermain seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Rata-rata warganet mengucapkan selamat hari lahir kepadanya dan mendoakan kanak-kanak itu sekeluarga dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah.
Sumber: warung_jurnalis