Orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional PS 21 Capsule yang dikesan mengandungi racun berjadual; simvastatin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk tersebut telah dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) ekoran racun berjadual yang dikesan tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.
“Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah.
“Pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.
“Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, penjualan dan pengedarannya melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sekiranya didapati bersalah, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga (3) tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima (5) tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
Manakala syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” tambahnya lagi.
Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ atau aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.
Sumber: KKM