Baru-baru ini tular dua keping foto memaparkan seorang penghantar makanan Foodpanda yang gagah mengayuh basikal di bawah panas terik di Kota Bharu.
Foto tersebut dirakam pemberita tempatan, dimuat naik sebelum tular dan menjadi perhatian para netizen. Rata-rata sangat tersentuh hati melihat situasi itu.
Melihat keadaannya sebegitu, ramai pihak berbesar hati ingin menawarkan pelbagai bantuan kepadanya, termasuklah bantuan untuk membelikan sebuah motosikal.
Salah satunya, sebuah kedai jualan motosikal, Motor Lian Soon membuat satu hebahan umum menerusi laman Facebooknya pada semalam. Difahamkan mereka ingin menyumbangkan sebuah motosikal baharu kepadanya.
”Saya nak bagi sebiji motor untuk dia”
Hantaran itu menerima reaksi yang positif daripada segenap netizen, selain turut dikongsikan lebih 17,000 kali. Kesemua mereka menyokong dan memuji usaha murni pemilik kedai untuk membantu penghantar makanan yang dalam kesusahan ini.
Ianya sekaligus menunjukkan sifat simpati dan empati rakyat Malaysia masih tebal dalam diri, paling penting ia tidak mengira nama bangsa, bahasa mahupun agama.
Tidak perlukan motosikal buat masa ini
Tindakan orang ramai yang tampil untuk membantu perlu diberikan dipujian. Walau bagaimanapun, sebenarnya penghantar makanan ini mendakwa dia belum memerlukan sebarang motosikal baharu lagi buat masa ini.
Ini adalah kerana dia sudah pun mempunyai motosikal sendiri. Merujuk laporan pemberita Kosmo!, Zulhanifa Sidek, dia menghantar makanan menaiki basikal adalah kerana kouta untuk penghantar makanan bermotosikal Foodpanda bagi kawasannya sudah penuh.
Jadi pilihan lain yang ada untuk dia mencari rezeki adalah memilih platform kedua, iaitu berbasikal demi membantu keluarganya menambah pendapatan walaupun tugasan tersebut diakui cukup memenatkan.
Walaupun tidak memerlukannya buat masa ini, namun penghantar makanan ini sangat berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka. Semoga penghantar makanan ini dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan semuanya.
Sumber: Motor Lian Soon / Zulhanifa Sidek melalui Kosmo!