Bukan sahaja perlu berbuat baik kepada manusia, setiap orang juga sentiasa dianjurkan untuk menunjukkan sifat belas kasihan dan ihsan kepada makhluk ciptaan Allah yang lain seperti haiwan.
Dalam keadaan tertentu, haiwan tidak mampu untuk menyelamatkan diri mereka kecuali hanya dengan bantuan dari manusia sahaja.
Cepat atau lambat, akan selalu ada ganjaran serta pahala yang akan diperoleh jika membantu haiwan yang berada dalam keadaan kesakitan.
Menerusi satu video yang dimuatnaik oleh Ustaz Hanafi di Facebook, seorang lelaki dilihat tidak ragu-ragu untuk menyelamatkan seekor kambing yang berada dalam keadaan ‘nazak’ dengan melakukan CPR atau bantuan pernafasan terhadap haiwan itu.
Ia sesuatu yang amat jarang kerana sebelum ini kita hanya sering melihat CPR yang dilakukan kepada manusia sahaja.
Tali terbelit pada leher
Berbalik kepada video itu, dapat disaksikan bahawa kambing itu sebenarnya ‘tercekik’ disebabkan oleh tali yang ada pada kambing-kambing lain terbelit pada lehernya. Lebih mengeruhkan keadaan, ia diheret sehingga tidak sedarkan diri.
Melihat keadaan itu, lelaki yang kebetulan berada di situ melepaskan ikatan tali tersebut dan terus melakukan CPR. Pada percubaan pertama, kambing itu nampaknya tidak memberikan apa-apa reaksi. Tetapi, setelah kali kedua dan ketiga, kambing itu terus sedar dan mampu berjalan seperti biasa.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kejadian tersebut berlaku di negara mana.
Apapun, semoga lelaki tersebut diberikan ganjaran yang setimpal di atas kebaikan yang telah dilakukannya kepada kambing tersebut.
Sumber: Ustaz Hanafi