JOHOR BAHRU, 6 Jun – Pengalaman pahit menyaksikan bapa sendiri bergelut melawan jangkitan COVID-19 membuka mata seorang pemuda mendaftarkan diri sebagai seorang sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) Johor di sini.
Muhd Hariz Abu Bakar, 20, yang menyertai sukarelawan “Southern Volunteers” berkata walaupun bapanya sudah sembuh namun dugaan dialami pada Februari lepas itu memberi kesan kepada dirinya sekali gus menyedari betapa pentingnya pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat.
“Ayah dijangkiti COVID-19 tetapi tidak pasti daripada siapa. Walaupun saya dan ahli keluarga tidak terlibat (dijangkiti) tetapi pengalaman ini telah membuka mata kami.
Saya harap dengan penglibatan sebagai sukarelawan ini, saya dapat memberi peluang kepada diri untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya yang ditemui Bernama di PPV Persada Johor, di sini hari ini.
Graduan Kolej Matrikulasi Johor itu berkata antara tugasnya di PPV itu termasuk menunjuk arah, membantu kelancaran proses pendaftaran serta penerima vaksin yang memerlukan kerusi roda.
Muhd Hariz berkata dia dimaklumkan mengenai peluang menjadi sukarelawan itu daripadanya rakan-rakannya, akhir bulan lepas.
“Kedua ibu bapa menyokong tindakan saya kerana melihat perkara ini (sukarelawan) sebagai peluang untuk saya menimba pengalaman baharu sekali gus menyumbang bakti kepada masyarakat.
Sehubungan ini, saya menyeru orang ramai untuk mendaftarkan diri dalam program pengambilan suntikan vaksin kerana ia penting untuk membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Dianggarkan seramai 1,000 sukarelawan Southern Volunteers akan digerakkan secara berperingkat ke semua 46 PPV di Johor bermula esok dengan 120 daripadanya ditugaskan di PPV Persada Johor untuk membantu penerima pusingan kedua vaksin AstraZeneca.
— BERNAMA