Siakap Keli
Gambar Via Nurulsyazwina

“Mak Saya ‘Dapat’ 22A”, Kembar Cemerlang Raih 11A SPM, Buat Mak Ayah Bangga

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setelah berhempas pulas belajar dalam keadaan norma baharu pada tahun lalu, hari ini menjadi detik paling bermakna buat kesemua pelajar apabila mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, keputusan SPM 2020 merekodkan sejarah baharu dan ia adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Jika korang melayari media sosial hari ini, ramai pelajar-pelajar yang berkongsi mengenai keputusan cemerlang yang diperolehi mereka.

Tidak terkecuali bagi dua pelajar kembar ini yang berjaya mendapat 11A.

Menerusi perkongsian Nurul Syazwina di Twitter, dia memuatnaik sekeping gambar yang memperlihatkannya bersama kembar dan kedua ibu bapanya.

Dihubungi SK, Nurul Syazwina yang bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, mengatakan bahawa ‘rahsia’ mereka berdua mendapat keputusan yang cemerlang adalah dengan belajar bersama-sama walaupun berlainan sekolah dan subjek.

Menurut Syazwina, kembarnya, Nurul Syazwani, bersekolah di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya.

“Kami membantu di antara sama lain mengenai subjek yang lemah dan sukar, bangun awal untuk belajar sama-sama dan membuat rujukan dengan cikgu masing-masing jika kurang faham mengenai sesuatu subjek,” katanya.

Dengan keputusan cemerlang itu, mereka meluahkan rasa gembira kerana dapat membanggakan ibu bapanya.

“Kami rasa sangat gembira dapat banggakan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan, kerana berkat doa dan usaha mereka kami berjaya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Syazwina mengatakan bahawa mereka berdua masih menunggu tawaran pengajian tinggi, jika ada rezeki, mereka berhasrat untuk bersama- sama melanjutkan pengajian di luar negara.

Syabas dan setinggi tahniah diucapkan kepada Syazwina, Syazwani dan pelajar yang lain di atas kejayaan mendapat keputusan yang cemerlang ini. Semoga terus ‘terbang tinggi’ dan membanggakan keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber: nurulsyazwina

Sofea

There's always another side to every story