Siakap Keli
Gambar: Mothership.sg

Nak Bantu Peniaga Terjejas Hampir Tutup Kedai, Lelaki ini Lancarkan ‘Peta Penjaja’ Untuk Tarik Pelanggan

Seorang pengguna forum Reddit telah melancarkan suatu lapisan Peta Google untuk membantu peniaga yang tidak mampu melariskan perniagaan mereka secara online, lapor portal Mothership.

Inisiatif ini adalah suatu usaha selain daripada usaha sama Kementerian Komunikasi dan Maklumat (MCI) dan Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar (MSE) untuk membantu lebih banyak peniaga menggunakan digital di Singapura.

Terinspirasi untuk membantu

Inisiatif M Thirukkumaran (nama sebenar) ini adalah untuk membantu masyarakat yang ingin menyokong peniaga yang kurang bernasib baik secara digital di sekitar mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak menyedari siapa dan di mana peniaga ini berada.

Dilaporkan, Thiru melancarkan inisiatif itu pada pertama kali pada 22 Mei lepas. Dia telah bermula dengan sekitar 10 gerai yang dilabel sebagai ‘hampir ditutup’ atau memerlukan lebih banyak sokongan berdasarkan posting Facebook.

Kini, terdapat lebih daripada 200 gerai yang ditampilkan dengan latar belakang setiap gerai pada 4 Jun lalu.

Bagaimana ia bermula

Menurut Thiru yang bekerja sepenuh masa, dia memerlukan dua malam dari jam 10 malam – 2 pagi. Ini adalah bagi menyiapkan apa yang diperlukan untuk melancarkan pelapis (overlay) peta.

Dia harus menyusun semuanya dengan betul dan membangunkan komponen yang relevan untuk peta dan bentuknya, serta menulis catatan di media sosial.

Dikatakan bahawa Thiru sedar akan ciptaannya itu tidak begitu memuaskan tetapi dia tetap melancarkannya. “Jika saya menunggu terlalu lama untuk kumpulkan senarai besar, peta tidak akan siap tepat pada masanya untuk menjadi sesuatu yang berguna,” katanya.

Jelas Thiru, daya tarikannya perlahan pada awal minggu pertama dan seterusnya kerana penggunaan dan liputan gerai yang terhad. Namun, ia menjadi cepat meningkat apabila menerima sokongan besar-besaran oleh masyarakat dan pengguna yang baik hati membantunya.

Tambahnya lagi, “Bagi saya, ini adalah kejayaan jika sekurang-kurangnya satu orang telah menggunakan peta ini, menganggapnya berguna, dan menyokongnya. Saya harap peta ini memberi dorongan kepada peniaga agar mampu bertahan. Ini akan menjadi kerugian besar pada peniaga kita yang kaya jika bisnes mereka ditutup dalam tempoh yang singkat dan sukar ini.”

Perkembangan selanjutnya

Menurut portal, terdapat seorang pengguna Reddit yang menawarkan untuk membeli domain bagi meneruskan peta itu. Thiru dikatakan telah membuat perbincangan mengenainya.

Dia menambah bahawa rancangan masa depan projek yang didorong oleh komuniti ini ‘hanya dibatasi oleh apa yang orang mahu lihat.’

Dia tetap terbuka terhadap idea dan apa yang ingin dilihat oleh masyarakat, seperti mengkategorikan peta berdasarkan jenis masakan.

Lebih ramai sukarelawan dialu-alukan

Thiru mengalu-alukan lebih banyak sukarelawan untuk menyumbang bantuan dalam mengemas kini lapisan peta.

Dia berkongsi bahawa cabaran terbesar adalah mengumpulkan maklumat mengenai gerai yang memerlukan bantuan.

Walaupun dia kerap mencari maklumat baru di halaman Facebook untuk ditambahkan ke peta, dia mengakui batasan usahanya sebagai individu.

Mengesahkan dan menambah kiriman daripada pengguna juga memerlukan masa,” katanya.

Sumber: Mothership.sg

Nurul Nabila

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.