Siakap Keli

Penjelasan Isu ‘Buat-Buat Bodoh’: “Bonda Ambil Tanggungjawab Untuk Memohon Maaf Atas Salah Faham” – Prof Muhaya

Terpalit kontroversi video yang tular semalam, Professor Dr Muhaya tampil memberi penjelasan melalui kiriman terbaru beliau di laman Facebooknya.

Potongan klip yang berdurasi kurang seminit itu tular di media sosial semalam dan memancing pelbagai reaksi dari warga net. Klip yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum wanita itu menjadi bualan hangat di pelbagai platform media sosial hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Mari kita ikuti penjelasan Prof Dr Muhaya berkaitan isu ini.

Penjelasan isu ‘buat-buat bodoh’

Assalamualaikum anak-anak bonda dan semua yang memberi maklumbalas berhubung potongan klip ‘buat bodoh-bodoh’ yang tular semalam.

Untuk makluman, hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan dari live di FB Page Prof Muhaya dan YouTube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Februari 2021 jam 6 petang bertajuk “ANTARA CINTA DAN CITA-CITA”.

Siaran live Bonda tersebut adalah sebenarnya bagi menjawab persoalan KK Talib dan komen-komen dari FB, berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.

Secara teknikalnya, ini adalah video lama. Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat ini, telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutamanya kaum wanita, sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.

Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda.

Kepada pihak media juga, sangat baik budi akhlaknya sehingga kini menanti statement Bonda, maka Bonda tampil membuat penjelasan ini. Terima kasih kerana sabar ya.

Sebenarnya buat yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, semua jawapan terkandung di pautan YouTube Prof Muhaya TV bertajuk CINTA & CITA-CITA (swipe up story untuk tonton video penuh)

Bonda juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat redha Allah.

Atas salah faham ini, Bonda ingin hadiahkan nota ringkas live CINTA & CITA-CITA (di YouTube) sebagai rujukan bagi menjawab segala persoalan yang timbul.

Terima kasih, Bonda sayang semua tanpa syarat.

Sumber: Facebook Prof Dr Muhaya

Eyla Azri