Tujuh orang kanak-kanak yang terbogel dan kelaparan berjaya diselamatkan selepas ditemui terkunci di dalam sebuah flat yang seram dan kotor, lapor Daily Star.
Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan antara tiga dan tujuh tahun itu dilaporkan ditinggalkan dalam jagaan seorang gadis yang berusia 13 tahun, yang merupakan adik kepada dua ibu kanak-kanak tersebut ketika pegawai polis menemui mereka terkunci di dalam rumah yang terletak di Macapá, Brazil, pada 4 Jun itu.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka sedang kelaparan, kotor, tidak berpakaian dan juga mengalami selsema ketika ditemui.
Mereka juga menunjukkan simptom-simptom anemia dan terdapat luka di badan mereka.
Menurut perkhidmatan perlindungan kanak-kanak, salah seorang daripada kanak-kanak lelaki itu menghidap autisme, dan mereka semua kini sedang menerima rawatan lanjut.
Ketika pihak polis sampai ke lokasi, mereka dimaklumkan bahawa remaja yang bersama kanak-kanak itu dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak terbabit dan akan berbohong mengenai usianya dengan mendakwa bahawa dirinya berusia 17 tahun jika ada yang bertanya.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan telah dikurung di dalam rumah tersebut tanpa pengawasan orang dewasa oleh ibu mereka, yang juga tinggal di tempat tersebut.
Menurut pegawai polis yang pergi ke rumah dan menyelamatkan kanak-kanak tersebut, kawasan rumah itu sangat kotor dan tidak ada air, air minuman, makanan, periuk mahu pun peti sejuk di dalamnya.
Pegawai polis dan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak mengatakan bahawa mereka baru pertama kali ke rumah berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai keadaan kanak-kanak itu.
Penduduk tempatan terpaksa menolong mereka memotong pagar besi di rumah itu untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.
Gadis berusia 13 tahun itu memaklumkan kepada pegawai polis bahawa dua kakak perempuannya adalah ibu kepada kesemua kanak-kanak tersebut.
Pegawai polis tidak berjaya untuk mengesan wanita terbabit pada mulanya, namun kemudian kedua-dua wanita tersebut dilaporkan menghubungi perkhidmatan pelindungan kanak-kanak bagi mendapatkan kembali anak mereka.
Mereka dilaporkan hanya berjaya mengemukakan dokumen pengenalan untuk dua orang anaknya yang di bawah umur sahaja.
Perkhidmatan perlindungan kanak-kanak juga masih berusaha untuk mencari bapa, atok dan nenek mereka.
Kedua-dua wanita berkenaan juga dilaporkan dianggap tidak layak untuk mengambil semula kanak-kanak tersebut, yang kini masih dirawat.
Pihak polis dilaporkan masih lagi sedang menyiasat kes tersebut dengan lebih lanjut.
Sumber: Daily Star