Siakap Keli

(Video) Filem ‘Prebet Sapu’ Lakonan Amerul Affendi Terpilih Bertanding & Ditayangkan Di Far East Film Festival 23 Di Udine, Itali

Tahukah anda, sebuah filem tempatan yang berjudul Prebet Sapu terpilih untuk bertanding dan ditayangkan di Far East Film Festival 23 di Udine, Itali pada 24 Jun hingga 2 Julai ini.

Boleh dikatakan antara ‘kekuatan’ yang ada pada filem arahan Muzzamer Rahman ini adalah pelakonnya yang dibarisi nama-nama besar seperti Amerul Affendi, Mei Fen Lim, Bront Palarae, Sharifah Amani, Nadiya Rissa, Anas Ridzuan, Jay Iswazir dan lain-lain.

Makluman mengenai Prebet Sapu yang terpilih bertanding dan ditayangkan ini dimaklumkan oleh pihak produksi menerusi laman Instagram mereka, Prebet Sapu Film baru-baru ini.

Gambar: Prebet Sapu Film

“Prebet Sapu terpilih bertanding dan akan ditayangkan di Far East Film Festival 23 di Udine, Itali.

Ini adalah satu penghormatan bagi kami untuk menyertai festival filem yang ada tayangan, penonton, juri dan juga disertai oleh filem-filem dari negara luar yang menarik.

Filem ini juga telah lulus Lembaga Penapisan Filem. Semoga hasrat kami untuk tayang di pawagam Malaysia juga terlaksana dalam masa terdekat,” maklumnya dalam hantaran tersebut.

Penggambaran bermula sejak 2017

Prebet Sapu bukanlah sebuah filem yang baharu dikeluarkan, tapi sebenarnya penggambaran filem ini telah pun bermula sekitar 2017 lalu. Sudah hampir lima tahun ‘usianya’.

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup seorang lelaki bernama Aman (Amerul Affendi). Selepas kematian ayahnya, Aman yang tidak bekerja berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur dan mencari rezeki dengan menjalankan perkhidmatan prebet sapu.

Gambar: Prebet Sapu Film

Namun usahanya itu haram di sisi undang-undang kerana dia tidak memiliki lesen memandu ekoran mengalami masalah buta warna. Setelah dipertemukan dengan seorang gadis Cina (Mei Fen Lim), maka bermulalah segala-galanya.

Keunikan filem ini adalah ia dihasilkan dalam mod warna hitam dan putih saja, macam filem ‘dulu-dulu’. Ini kerana dipercayai bagi ‘menghidupkan’ watak Aman yang mengalami masalah buta warna.

Jangan terkejut, walaupun belum lagi ditayangkan secara rasmi di Malaysia, Prebet Sapu sudah terlebih dulu menempah nama di luar negara apabila terpilih secara rasmi untuk ditayangkan di Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) kali ke-15 di Indonesia sebelum ini.

Adalah menjadi sesuatu yang patut dibanggakan apabila filem garapan anak tempatan ini mampu menembusi layar perak di pentas Eropah dan ianya bukanlah calang-calang filem.

Ini bukan kali pertama filem tempatan kita berjaya ke Far East Film Festival. Mengimbas kembali, antara filem tempatan yang pernah berjaya ke festival berkenaan sebelum ini ialah Bunohan (ditayangkan 2012), Crossroads: One Two Jaga (2018) dan Roh (2020).

Difahamkan, Prebet Sapu dijangka akan ditayangkan secara rasmi di layar perak kita pada tahun ini. Mari kita tonton sedikit teaser yang dikongsikan Prebet Sapu Film di bawah ini.

Sumber: IG Prebet Sapu Film / FB Namron / IMDB / Kosmo!

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'