Segerombolan 15 ekor gajah yang sedang berhijrah sejauh 500 kilometer di China telah menarik perhatian jutaan penduduk negara itu, lapor CNN.
Perjalanan gajah-gajah berkenaan telah dirakam menggunakan puluhan dron pemantau milik polis yang memerhatikan setiap pergerakan haiwan tersebut merentasi hutan, kebun serta kawasan perumahan tempatan.

Perjalanan haiwan itu dapat dilihat secara langsung dari atas talian di mana rata-rata netizen terpaku melihat kehidupan kumpulan berkenaan sepanjang penghijrahan.
Menariknya, mereka juga berkesempatan menyaksikan proses kelahiran seekor anak gajah yang seterusnya menjadi ‘watak kegemaran’ orang ramai dalam migrasi itu.
Menurut CNN, kira-kira 8 juta penduduk telah menonton video ketika mana seekor anak gajah tersekat di antara gajah dewasa ketika kumpulan itu sedang tidur di Kunming, wilayah Yunan.
“Yang dewasa tidur lena tak bergerak, si kecil pula berusaha gerak kiri kanan dan tersangkut antara induknya. Kenapa rasa macam familiar?” tulis salah seorang penonton.
“Tak kira spesies apa pun, yang kecil selalu aktif bila yang dewasa sedang tidur!” tulis pengguna lain.
“Mereka sejuk tak ya masa tidur? Rasa nak selimutkan je,” kata seorang penonton.



Dalam rakaman lain pula, kelihatan si anak gajah terpelecok ketika merentasi padang dan tersembam ke dalam kolam semasa ingin meminum air.
Sementara itu menurut SCMP, pihak berkuasa telah mengumpan gajah-gajah berkenaan dengan makanan bagi memastikan mereka berada pada laluannya.
Bagaimanapun, punca kumpulan gajah berkenaan berhijrah ke utara belum dapat dijelaskan. Sebahagian individu percaya migrasi itu bertitik tolak daripada saiz hutan yang mengecil, memaksa gajah-gajah itu berpindah.
Sementara itu, sebahagian lain berpendapat kumpulan gajah berkenaan berkemungkinan sedang sesat.
“Sedih, kita tak tahu bila mereka akan sampai ke destinasi,” tulis salah seorang pengguna Weibo seperti dipetik CNN.
