Siakap Keli
Gambar: KKM

Elak Beli & Guna Produk Kosmetik ‘Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream’, Dikesan Mengandungi Racun Berjadual – KKM

Orang awam digesa mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk kosmetik tersebut telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ianya tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

“Produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Bil. Nama Produk Racun Berjadual Yang Dikesan
1. Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream Tretinoin

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Justeru, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut digesa untuk menghentikan penjualan serta pengedarannya serta-merta, malah ia turut melanggari Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Gambar: KKM

Individu yang disabit bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Manakala syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan seterusnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” tambahnya lagi.

Orang awam digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik melalui laman sesawang rasmi www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sumber: KKM

"