MASSACHUSETTES- Seorang pelayan udang kara di Provincetown, Massachusettes didakwa hampir dimakan seekor paus spesies ‘humpback’, menurut satu laporan.
Michael Packard, 56 tahun, ketika kejadian dia berada berhampiran Pantai Herring Cove pada jam 8 pagi, lapor Cape Cod Times.
“Secara tiba-tiba saya merasa ‘ditarik’ dan selepas itu, suasana menjadi gelap,” kata Packard.
“Saya dapat rasakan gerakan dan saya turut merasakan gerakan mulut ikan tersebut.”
Pada mulanya, Packard sangkakan dirinya ditelan ikan jerung. Dia berada dalam mulut mamalia itu selama 40 saat sebelum dimuntahkan semula, lapor New York Post.
“Saya melihat cahaya dan mendongakkan kepala. Dari situ, saya sedar saya berada di luar (dalam air),” katanya.
Seterusnya, ikan paus itu menyembur air dan ketika itulah Packard berjaya keluar, kata saksi kejadian, Josiah Mayo.
Mayo bergegas membawa Packard ke sebuah hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan kerana tisu pada kaki Packard terkoyak.
Seorang pakar mendakwa berkemungkinan yang menelan Packard anak ikan paus.
“Saya tak pernah dengar kejadian sedemikian berlaku sebelum ini,” kata Jooke Robbins, seorang pengarah Humpback Whale Studies di Pusat Pengajian Pesisir di Provincetown.
Sumber: New York Post