Siapa je yang taknak rumah dia kelihatan besar, cantik dan teratur kan. Bila dah ada duit sikit, nombor kontraktor pun dihubungi untuk ubah suai rumah kita.
Tapi bila nak ubahsuai rumah ni, tak semua idea yang ada dalam kepala kita boleh menjadi realiti. Bukan apa, kena juga tengok struktur rumah dan apa yang boleh dialihkan dan apa yang tidak contohnya tiang yang menampung rumah tu.
Sebuah akaun bernama Ini Sains Beb ada menjelaskan berkenaan mengapa sesetengah rumah yang mempunyai tiang, tidak boleh mengubahsuai tiang tersebut untuk diletakkan di tempat lain.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:
UBAHSUAI TIANG RUMAH: BOLEH BUANG ATAU TIDAK?
Musim PKP ni, group sebelah Tukang Apa Hari Ini makin galak dengan idea-idea dan cadangan ubahsuai rumah. Ada yang nak bikin sendiri, ada yang nak ambil konsultansi profesional. Dan ada yang teruja melihat perkongsian di FB, lalu mula mencongak apa yang nak dibuat.
Ada satu persoalan yang dibangkitkan tempoh hari. Tuan rumah ingin mengubahsuai ruang dapur untuk dibesarkan. Cadangnya, seluruh dinding belakang (yang ada 2 pintu) tu nak dirobohkan dan dianjak ke belakang. Tapi, kontraktor kata “dinding boleh anjak, tapi tiang tu tak boleh”.
Ada tiang kat dalam dinding? Betulkah? Jadi tuan rumah bertanya di FB untuk verifikasi. Di sini kami nak terangkan sedikit asas struktur rumah, untuk rujukan sesiapa yang nak buat projek ubahsuai sementara PKP ni.
Untuk penerangan yang lebih mudah, kami gunakan infografik. Jadi sila ikuti infografik ini satu persatu, dan sekiranya ada soalan, kita boleh bincang di bawah.
Pada dasarnya, struktur post & beam dalam sistem yang memastikan rumah anda tegak berdiri. Ia macam meja. Kalau kita buang satu kaki, kemungkinan besar ia masih boleh berdiri. Tapi kalau kita letak beban di bahagian kaki yang dah tak ada tu, meja itu akan tumbang atau roboh.
Menggunakan analogi yang sama, kalau satu kaki nak dialihkan, maka kita kena guna sistem alang agihan (transfer beam) untuk membolehkan kaki yang baharu mengambil alih beban kaki yang dah tak ada.
Prinsip yang sama digunakan dalam pengubahsuaian rumah. Cuma bezanya, risiko yang terlibat adalah lebih tinggi. Kalau meja roboh, mungkin pinggan mangkuk pecah, karpet jadi kotor dan paling jauh pun, lauk terpercik kat baju. Tapi kalau rumah roboh, nyawa melayang bang.
Pengiraan bagi agihan beban kepada struktur baharu perlu dilakukan oleh jurutera struktur. Ini kepakaran dan bidang mereka. Kami arkitek pun tak akan memandai-mandai cuba buat kerja mereka, apatah lagi kontraktor atau pihak-pihak lain. Kita juga perlu memahami, apabila pengubahsuaian ini melibatkan kerja-kerja yang rumit, maka ia juga akan memakan kos yang tinggi.
Sebagai contoh, merujuk kepada grafik terakhir, pemasangan tiang dan alang baharu perlu dipastikan saiz yang sesuai bagi menampung beban yang nak digalas. Tiang baharu juga perlu dipasang di atas tapak (footing) yang sesuai untuk mengagih beban ke tanah. Tanpa tapak, ia akan terbenam dan tenggelam ke dalam tanah, menyebabkan keretakan dan roboh.
Alang besi juga perlu dipasang dengan betul pada tiang lama. Dan pengiraan juga perlu dibuat untuk memastikan tiang lama itu boleh menggalas beban baharu. Ada kemungkinan tiang itu perlu disokong/dibesarkan bagi mengelakkan ia bergerak, patah atau roboh.
Kembali kepada kontraktor asal tadi, pada saya, dia bersikap profesional untuk menolak pembuangan tiang tersebut kerana ia di luar kepakaran atau kemahirannya. Tapi tak bermakna ia tak boleh dibuat langsung. Kita kena tanya kepada yang pakar.
Sumber: Ini Sains Beb/Azari Mat Yasir